Ujian kendiri Covid-19 murid di rumah bermula Rabu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ujian saringan bergilir Covid-19 bagi murid sekolah rendah akan dilaksanakan secara kendiri oleh murid di rumah bermula Rabu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataannya memaklumkan, ujian tersebut merupakan salah satu Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, bagi pelaksanaan ujian saringan pada minggu ini, pihak sekolah telah mengenal pasti murid terlibat.

"Kit ujian kendiri berserta slip pengesahan pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 diedarkan kepada murid pada Rabu untuk dibawa pulang.

"Keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada 13 Januari," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Kementerian itu berkata, murid boleh hadir ke sekolah sekiranya keputusan negatif namun jika positif, ibu bapa atau penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut serta memaklumkan kepada pihak sekolah.

"Jika keputusan ujian tidak sah, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah," katanya.

Ujar KPM, surat siaran berkaitan penyelarasan semula pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah dan prasekolah akan dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Ketetapan ini turut terpakai di semua sekolah rendah dan tadika swasta yang berdaftar bawah KPM.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.