Pencemaran kimia: Tunggu laporan jabatan kimia

Chin Tong (tiga, kiri) diiringi Sahruddin (empat, kiri) ketika melawat pusat rawatan awal pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.
Chin Tong (tiga, kiri) diiringi Sahruddin (empat, kiri) ketika melawat pusat rawatan awal pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan negeri perlu menunggu laporan ujian toksikologi dari Jabatan Kimia bagi memastikan kewujudan elemen sianida pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, sehingga kini pihaknnya masih belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan racun sianida yang disedut sebilangan mangsa.

"Itu kita tak dapat apa-apa laporan lagi. Kita tunggu laporan ujian daripada jabatan kimia sebelum memberi maklum balas berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata ketika mengiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong melawat pusat rawatan awal pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman sosial Twitter peribadinya mendakwa wujud elemen sianida dalam tubuh sebilangan mangsa terjejas.

Dalam pada itu, Chin Tong dalam lawatan itu memuji tindakan pasukan bantuan Tim Tinjau ‘Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN)’ serta Tim Nyah Cemar (CBRN) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya datang sini untuk buat lawatan bagi memahami keadaan dan juga memahami apa yang kementerian pertahanan boleh bantu dan boleh tambah bantuan.

"Saya bangga dengan pasukan ATM dan semua agensi yang bersama-sama membantu di sini, terima kasih kepada semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Komander Jurutera Medan Barat, Brigadier Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa berkata, pasukan ATM akan membantu dari segi kepakaran membuat tinjauan, identifikasi, serta membuat tandaan tempat yang dikenal pasti.

Katanya, ia melibatkan seramai tujuh pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat diatur gerak untuk menghulurkan bantuan.

"Sekarang ini kita sedang membantu pasukan Hazmat daripada bomba untuk membuat tinjauan di lokasi terkesan.

"Semalam kita membuat tinjauan, identifikasi, serta membuat tandaan tempat yang ditetapkan itu dan hari ini kita menunggu arahan selanjutnya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.