Ringgit dijangka diniagakan RM4.15 berbanding dolar AS

StanChart menjangkakan ringgit diniagakan pada 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2022 dan meningkat kepada paras 4.15 pada separuh kedua.Gambar hiasan. - Foto 123rf
StanChart menjangkakan ringgit diniagakan pada 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2022 dan meningkat kepada paras 4.15 pada separuh kedua.Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

STANDARD Chartered Bank Malaysia Bhd (StanChart) menjangkakan ringgit diniagakan pada 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2022 dan meningkat kepada paras 4.15 pada separuh kedua.

Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing bagi ASEAN dan Asia Selatan StanChart, Divya Devesh berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan pemacu positif antaranya ialah harga komoditi, pemulihan pelancongan dan kemasukan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan ke Malaysia.

"Pada asasnya, kami tahu apa yang berlaku dengan komoditi sepanjang 18 bulan yang lalu. Komoditi mempunyai prestasi kukuh dan itu benar-benar diterjemahkan kepada petunjuk bahawa perdagangan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Prestasi eksport Malaysia adalah sangat kukuh. Jika anda melihat imbangan dagangan, ia telah meningkat dengan ketara. Bagi akaun semasa juga, kami berpendapat lebihan perdagangan akan kekal kukuh tahun ini," katanya ketika Taklimat Penyelidikan Global StanChart 2022: ‘Tinjauan Global dan Malaysia Separuh Pertama Tahun 2022’ pada Selasa.

Divya berkata, StanChart telah mengunjurkan lebihan akaun semasa yang lebih tinggi sebanyak 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini.

Mengenai pemulihan pelancongan, StanChart menjangkakan industri itu akan kembali pada separuh kedua 2022, bergantung kepada situasi Covid-19 yang pastinya akan memanfaatkan ringgit, katanya.

"Jelas sekali, Thailand dan baht Thailand akan mendapat manfaat terbesar dalam pemulihan pelancongan. Kami berpendapat Malaysia juga akan turut menerima manfaat tersebut.

“Mengenai FDI, ia benar-benar meningkat sejak setahun lalu yang turut memberi manfaat kepada Malaysia dan akan menyokong nota tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sudut negatifnya, beliau berkata, nampaknya terdapat peningkatan minat terhadap aset mata wang asing dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Justeru, apa yang kita lihat daripada segi data imbangan pembayaran ialah terdapat peningkatan dalam permintaan untuk perkara seperti deposit mata wang asing. Jika anda melihat deposit mata wang asing sistem perbankan yang telah meningkat, nampaknya terdapat peningkatan permintaan untuk mata wang asing atau ekuiti asing.

"Aliran itu telah mengimbangi beberapa peningkatan yang kita lihat dalam akaun semasa," katanya.

Bagaimanapun, Divya berkata, ia tidak khusus untuk Malaysia kerana terdapat peningkatan minat untuk aset-aset asing di beberapa negara lain juga.

Sementara itu, mengulas mengenai dolar AS, beliau berkata dolar AS secara amnya akan kekal tinggi pada separuh pertama tahun 2022.

"Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan menaikkan kadar pada bulan Mac dan menjelang kenaikan kadar pertama, pasaran mungkin melihat dolar AS akan bertambah baik.

"Tetapi kami juga berpandangan bahawa mungkin Fed tidak dapat memberi sebarang petunjuk ketika ini, pasaran kini menetapkan harga hampir 90 mata asas terhadap kenaikan kadar tahun ini," katanya. - Bernama