Banjir: Janda Baik dijangka rugi RM12 juta

Mohd Sharkar (kiri) meninjau kesan kemusnahan akibat banjir besar yang berlaku Disember lepas di kawasan Rekreasi Pulau Santap Janda Baik pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Sharkar (kiri) meninjau kesan kemusnahan akibat banjir besar yang berlaku Disember lepas di kawasan Rekreasi Pulau Santap Janda Baik pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Lokasi pelancongan popular Pahang, Janda Baik di sini dijangka mengalami kerugian kira-kira RM12 juta apabila sebahagian kawasan tumpuannya tidak boleh beroperasi selama empat bulan selepas musnah dalam bencana banjir berpunca daripada kejadian kepala air baru-baru ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Kebudayaan, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, antara lokasi paling teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lepas ialah Pulau Santap yang merupakan pusat rekreasi utama Janda Baik.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk dengan kos kerosakan dianggarkan antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet terlibat.

"Kita akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk membantu memulihkan semula kawasan terlibat dengan memberikan peruntukan khas yang boleh diutamakan untuk kerja baik pulih infrastruktur seperti jalan raya, kawasan awam dan jambatan.

"Selain itu, kita juga mohon pertimbangan diberikan kepada pengusaha pelancongan di sini mendapatkan kemudahan pinjaman fleksibel untuk mereka memulihkan resort atau chalet yang rosak yang akan menelan belanja besar seberapa segera yang boleh," katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau kemusnahan akibat banjir di sekitar Pulau Santap di sini pada Isnin. Turut hadir ialah Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Tourism Pahang juga menurut Mohd Sharkar, akan menyenaraikan lokasi di Janda Baik yang terpaksa ditutup sementara dan tempat peranginan atau chalet yang masih boleh menerima kehadiran pelancong untuk semakan mereka yang berhasrat melancong ke situ.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap Janda Baik dapat kembali beroperasi secepat mungkin kerana pelancongan merupakan punca pendapatan ramai penduduk setempat. Kira-kira 300 pekerja akan terkesan dengan penutupan sementara chalet dan resort di sini.

Beginilah kesan kemusnahan persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik akibat kejadian banjir besar Disember lepas semasa tinjauan fotoBernama sempena lawatan kerja Mohd Sharkar pada Isnin. - Foto Bernama
Beginilah kesan kemusnahan persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik akibat kejadian banjir besar Disember lepas semasa tinjauan fotoBernama sempena lawatan kerja Mohd Sharkar pada Isnin. - Foto Bernama

"Turut terkesan ialah aktiviti ekonomi lain yang bergantung kepada pelancongan seperti pengusaha makanan dan mereka yang menjalankan perniagaan seperti sewa kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) dan menunggang kuda kerana Janda Baik sebelum ini, sentiasa penuh setiap hujung minggu," katanya.

Ditanya jika banjir menjejaskan perancangan pelancaran semula Tahun Melawat Pahang tahun ini, yang telah terkesan akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun, Mohd Sharkar berkata, pihaknya akan memberi tumpuan ke destinasi lain tidak terjejas banjir seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser, Cherating di Kuantan dan Pulau Tioman, Rompin.

Bagi lokasi pelancongan lain dilanda banjir seperti Taman Negara di Jerantut, Sungai Lembing di Kuantan dan Titik Tengah Semenanjung di Lanchang, Temerloh, kerja pemulihan dijadual dapat diselesaikan segera kerana destinasi terlibat sudah dijangka dinaiki air pada musim tengkujuh. - Bernama