Najib tidak akan dipanggil sebagai saksi kes rasuah Rosmah

Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding bela diri kes rasuah libatkan isterinya. - Foto Bernama
Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding bela diri kes rasuah libatkan isterinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding bela diri kes rasuah membabitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam, Datuk Jagjit Singh berkata demikian ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagi pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Jagjit berkata, Najib sepatutnya dijadualkan untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga pada Isnin.

Selepas mengadakan diskusi, beliau berkata, pembelaan membuat keputusan untuk tidak memanggil bekas Perdana Menteri itu kerana keterangan Najib pada dasarnya bersifat menyokong.

“Kami berbincang secara panjang lebar bermula Sabtu hingga malam Ahad dan akhirnya mengambil keputusan tersebut.

“Kami mengubah strategi asal dan pihak pembelaan memohon maaf kepada mahkamah,” katanya.

Berikutan itu, Jagjit memohon kepada mahkamah agar dapat melapangkan perbicaraan sepanjang minggu ini.

Ini kerana, katanya, saksi kedua, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod iaitu bekas pegawai khas Najib sedang menunaikan umrah dan hanya berkelapangan pada 4 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Siti Azizah yang juga bekas Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) selesai membaca sebahagian pernyataan saksi dan dijadualkan untuk disoal balas pada tarikh berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, terpulang kepada pasukan pembelaan untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohamed Zaini menangguhkan perbicaraan kes dan menetapkan ia disambung semula pada Februari depan.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah, 71, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau didakwa menerima rasuah itu melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion.