Arteta akui Arsenal belum cukup bagus

Arteta menyifatkan pemain beraksi hambar ketika tumpas 0-1 kepada Nottingham Forest di City Ground pada Isnin. - Foto Getty Images
Arteta menyifatkan pemain beraksi hambar ketika tumpas 0-1 kepada Nottingham Forest di City Ground pada Isnin. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui skuad kendaliannya belum cukup bagus untuk mara lebih jauh pada saingan Piala FA kali ini apabila tumpas 0-1 kepada Nottingham Forest di City Ground, pada Isnin.

Malah Arteta menegaskan, dia kecewa dengan kekalahan berkenaan terutama apabila menyaksikan aksi yang dipamerkan pemain.

“Secara keseluruhannya, saya benar-benar kecewa dengan persembahan yang kami pamerkan dan kami ternyata berdepan kesukaran untuk menyaingi corak permainan yang dipamerkan Forest.

“Saya telah beraksi dalam perlawanan seperti ini bagi tempoh 18 tahun sejak kebelakangan ini dan saya tahu bagaimana sukarnya untuk beraksi berdepan Forest.

“Oleh itu saya tidak terkejut dengan kesukaran yang dihadapi pemain, tetapi kali ini kami mengharungi perlawanan ini dengan cara yang berbeza,” katanya.

Pada aksi pusingan ketiga itu, pemain gantian Lewis Grabban muncul wira kelab Liga Kejuaraan itu apabila menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan Ryan Yates pada minit ke-83 bagi mengesahkan slot ke pusingan keempat.

Kemenangan itu turut mengulangi kemenangan 4-2 Forest ke atas Arsenal di peringkat sama pada musim 2018 lalu.

Sementara itu, Arteta turut memohon maaf terutamanya kepada penyokong-penyokong atas prestasi hambar dipamerkan kesebelasan pemain The Gunners pada aksi pusingan ketiga itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemain-pemain dilihat tidak beraksi pada tahap sebenar selain gagal menembusi banteng pertahanan Forest.

“Apa pun, secara keseluruhannya kami tidak cukup bagus dan kami meminta maaf. Kami juga tidak beraksi pada tahap kami yang sebenar.

“Oleh itu, kami perlu kembali lebih bertenaga selepas ini dan pemain perlu lebih ‘berkeinginan’ untuk mencatatkan kemenangan pada setiap aksi yang diharungi kelak,” katanya.