Laksanakan subsidi kepada penternak ayam

Kerajaan digesa melaksanakan sistem subsidi terhadap penternak yang membekalkan ayam dalam pasaran tempatan sebagai inisiatif mengawal kenaikan harga ayam. -Foto 123RF
Kerajaan digesa melaksanakan sistem subsidi terhadap penternak yang membekalkan ayam dalam pasaran tempatan sebagai inisiatif mengawal kenaikan harga ayam. -Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melaksanakan sistem subsidi terhadap penternak yang membekalkan ayam dalam pasaran tempatan sebagai inisiatif mengawal kenaikan harga ayam.

Menurut peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Azizan, jika isu makanan ayam import menjadi punca kenaikan harga ayam di pasaran, kerajaan seharusnya memainkan peranan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal dan tidak membebankan pengguna.

Katanya, isu tersebut wajar dibincangkan secara lebih mendalam antara kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama peniaga, penternak dan peladang.

“Duduk semeja dan cari jalan penyelesaian yang terbaik. Tetapi saya juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur manipulasi harga oleh penternak yang sebenarnya mahukan subsidi makanan ayam daripada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, rakyat negara ini perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Sementara itu, peniaga ayam di Pasar Seksyen 16 di sini, Sazali Ramli berkata, selain harga makanan, kos sampingan untuk menternak ayam juga makin naik.

“Kerajaan mungkin boleh beri subsidi untuk kurangkan harga makanan ayam sebab apabila harga makanan ayam turun, secara automatik ia akan menurunkan kos kepada peniaga. Jadi peniaga boleh jual pada harga yang lebih murah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: