Harga ayam tak patut naik

Harga siling ayam dijangka meningkat lagi. - Foto 123RF
Harga siling ayam dijangka meningkat lagi. - Foto 123RF
A
A
A

HARGA ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka meningkat selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat 4 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini berkata, langkah terbabit terpaksa diambil sebagai mengimbangi situasi ‘menang-menang’ antara kumpulan pengguna dan penternak di negara ini.

Ketika ini harga runcit maksimum ayam bulat adalah RM9.10 sekilogram.

Ayam yang merupakan sumber protein utama rakyat Malaysia menyaksikan kenaikan mendadak tahun lalu. Daripada kira-kira RM7 sekilogram pada bulan Julai, harganya terus naik sehingga lebih RM10 sekilogram sebelum SHMKM dilaksana.

SHMKM melibatkan 12 jenis barangan khususnya telur, ayam dan sayuran diperkenalkan dari 7 Disember hingga 31 Disember lalu. Ia kemudian dilanjutkan lagi sehingga 4 Februari depan iaitu selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Sepanjang tempoh SHMKM, kerajaan memberi kebenaran kepada syarikat tertentu untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak dua juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan seperti didedahkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Disember lalu.

Bagaimanapun, harga ayam dikatakan tidak benar-benar dapat diturunkan apabila harga ayam dari luar negara juga mahal disebabkan kos penghantaran yang tinggi serta nilai ringgit yang lemah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, ramai penternak tempatan, pemborong dan peruncit menyuarakan ketidakmampuan mereka menanggung kerugian atas kenaikan kos pengeluaran dan operasi.

Walaupun kerajaan mahu mewujudkan situasi menang-menang, rata-rata reaksi rakyat mengatakan harga ayam tidak patut naik lebih-lebih lagi menjelang Ramadan tidak sampai tiga bulan lagi.

Lebih daripada itu, sesetengah rakyat berpendapat tugas menteri sepatutnya mencari jalan penyelesaian ke atas masalah rakyat, bukannya menyuruh rakyat bersedia harga barang akan naik.

Justeru, kerajaan dan pihak industri harus mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menstabilkan harga ayam.