Isu babitkan SPRM hakis kepercayaan rakyat

Faisal Aziz
Faisal Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat isu yang menjejaskan reputasi institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presidennya, Faisal Aziz berkata, isu terbaharu itu akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan termasuk institusi yang diamanahkan untuk mempertahankan maruah serta tatakelola yang baik dalam pentadbiran persekutuan.

Menurut beliau, ABIM menilai krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat semakin menebal kerana ia memberi kesan secara tidak langsung dalam kehidupan mereka.

“ABIM menggesa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segera menunaikan transformasi yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Pakatan Harapan (PH) supaya melakukan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Faisal berkata, transformasi itu secara khususnya merujuk kepada memperkasa institusi Parlimen seperti mana disebut dalam Perkara IV MOU tersebut.

“Pembaharuan segera ini perlu dibuat dengan segera meletakkan SPRM khususnya sebagai sebuah institusi bebas yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen bagi memastikan badan tersebut bebas daripada campur tangan eksekutif," katanya.

Beliau berkata, ia termasuk dengan meletakkan kuasa penuh kepada institusi Parlimen secara konsensus untuk melantik Ketua Pengarah SPRM serta barisan pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas semua bidang tugas badan terbabit.

“Kita khuatir sekiranya perubahan ini tidak dilakukan, situasi buruk yang berlaku hari ini akan terus berulang pada masa akan datang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk menyelamatkan negara ini daripada terjerumus ke dalam kemelut yang lebih buruk, katanya, kehendak politik untuk melakukan perubahan perlu ada untuk merealisasikannya.

Majlis Presiden PH sebelum ini mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas.

Menurut mereka, kenyataan daripada Azam dan Abu Zahar pada sidang akhbar sebelum ini tidak boleh diterima dan menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang.