10 tahun tunggu tebing sungai ditinggikan

Keadaan rumah pusaka yang didiami ibu bapa Omar selepas dilanda banjir pada 18 Disember lalu.
Keadaan rumah pusaka yang didiami ibu bapa Omar selepas dilanda banjir pada 18 Disember lalu.
A
A
A

HULU LANGAT - Hampir 10 tahun penduduk sekitar Dusun Tua di sini memohon supaya benteng sungai berhampiran jambatan gantung Batu 17 ditinggikan bagi mengatasi masalah limpahan air dari sungai setiap kali hujan.

Penduduk, Omar Said Ahmad, 38, berkata, kejadian pada 18 Disember lalu menyebabkan rumah pusaka yang didiami ibu bapanya ranap akibat arus deras dan hampir meragut nyawa keluarganya.

Menurutnya, kejadian tersebut menunjukkan pentingnya kerja naik taraf tebing sungai itu diberi perhatian serius bagi mengelak insiden sama berulang.

"Penduduk sudah tunggu 10 tahun tapi tiada sebarang tindakan. Apabila benteng sungai ditinggikan, kawasan perumahan kami akan lebih selamat.

"Takkan setiap tahun kami nak hadapi bencana seperti ini. Setiap tahun kena tukar peti sejuk dan mesin basuh," katanya ketika menerima kunjungan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyampaikan sumbangan keperluan makanan di sini pada Sabtu.

Sungai berhampiran rumah penduduk yang mohon ditinggikan bagi mengatasi isu limpahan air setiap kali hujan lebat.
Sungai berhampiran rumah penduduk yang mohon ditinggikan bagi mengatasi isu limpahan air setiap kali hujan lebat.

Omar yang bekerja sendiri berkata, dalam kejadian pada 18 Disember itu, arus deras disusuli rempuhan balak menyebabkan sebahagian struktur rumah runtuh dan kerugian hampir RM200,000.

Katanya, limpahan sungai berlaku setiap kali hujan lebat atau berterusan namun kejadian pada 18 Disember lalu adalah yang terburuk sejak dia tinggal di sana.

Artikel Berkaitan:

"Kalau air sungai melimpah, itu perkara biasa. Cuma pada hari kejadian selepas Maghrib, air semakin tinggi dan rumah di atas mula bergoyang selepas dilanggar balak.

"Risau keselamatan diri, emak saya menjerit memohon bantuan sebelum saudara yang tinggal di belakang rumah membantu mengeluarkan ahli keluarga seorang demi seorang sebelum rumah runtuh," ujarnya.

Omar juga berharap ibu bapanya menerima bantuan baik pulih rumah dan bercadang membina rumah lebih tinggi atas faktor keselamatan.