20,086 keluarga terjejas banjir terima bantuan BSB

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM20.2 juta dibelanjakan untuk membantu 20,086 keluarga yang terjejas akibat banjir menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat Sabtu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan menerusi BSB bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, daerah Petaling menerima bantuan BSB tertinggi sebanyak RM6.4 juta membabitkan 6,483 keluarga, diikuti Hulu Langat (RM3.6 juta, 3,600 keluarga) termasuk dua keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat musibah tersebut.

"Sebanyak 3,508 keluarga di Klang termasuk lima keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat musibah tersebut menerima bantuan BSB dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta, diikuti 2,326 keluarga serta tiga keluarga kehilangan ahli keluarga di Sepang (RM2.3 juta).

"Seterusnya, BSB diberikan kepada 1,890 keluarga di daerah Kuala Langat termasuk sebuah keluarga kehilangan ahli keluarga (RM1.9 juta), diikuti 1,548 keluarga di daerah Kuala Selangor (RM1.5 juta), Hulu Selangor sebanyak 51 keluarga (RM51,000) serta sebanyak 35 keluarga di Sabak Bernam (RM35,000)," katanya menerusi satu infografik di Facebook pada Sabtu.

Pada Disember lalu, Amirudin dalam satu sidang akhbar khas mengumumkan kerajaan negeri Selangor mula mengagihkan bantuan berjumlah RM1,000 mulai Rabu kepada keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Katanya, ia akan diagihkan secara berperingkat kepada mangsa kategori pertama iaitu mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

Artikel Berkaitan: