Sila log masuk terlebih dahulu.

LPM rancang bina 60 rumah buat golongan asnaf, miskin tahun ini

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) menyerahkan replika kunci rumah kepada Abdul Wahab Mohamad (kanan) pada Program Melaka Rumahku dan Program Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) menyerahkan replika kunci rumah kepada Abdul Wahab Mohamad (kanan) pada Program Melaka Rumahku dan Program Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Lembaga Perumahan Melaka (LPM) merancang untuk membangunkan 60 rumah bernilai RM3 juta yang akan diberikan secara percuma kepada golongan asnaf dan miskin sepanjang tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, rumah bernilai RM50,000 seunit itu akan dibangunkan di bawah Program Melaka Rumahku dan sebagai salah satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (SCR) LPM.

"Bagi pembangunan rumah berkenaan pada tahun ini, beberapa penambahbaikan akan dilakukan antaranya meningkatkan keluasan rumah kepada 800 kaki persegi dengan kos RM50,000 seunit berbanding 350 kaki persegi yang menelan kos RM25,000 seunit sebelum ini.

"Rumah ini akan diberikan secara percuma kepada golongan asnaf, miskin dan mangsa kebakaran atau yang ditimpa bencana, dengan syarat mereka mereka mempunyai tanah sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Melaka Rumahku dan Program CSR LPM di Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, LPM telah membelanjakan RM450,000 bagi membaik pulih dan membaiki 22 rumah serta membina lima rumah baharu di bawah program sama sepanjang tahun lepas.

Sulaiman sebelum itu menyerahkan rumah bernilai RM25,000 di bawah program berkenaan kepada Abdul Wahab Mohamad di Batu 11 Kampung Tambun Durian Tunggal di sini dan majlis turut dihadiri Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidon.

Rumah berkeluasan 350 kaki persegi yang dilengkapi satu bilik tidur, ruang tamu, dapur dan tandas itu dibangunkan bermula pada 1 Nov, turut menerima sumbangan pemasangan meteri elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad dan pemasangan meter air oleh Syarikat Air Melaka Berhad.

Sementara itu, Abdul Wahab, 57, yang merupakan pesara kerajaan berkata beliau bersyukur mendapat rumah berkenaan secara percuma dan baginya ia merupakan sumbangan yang tidak ternilai bagi dirinya yang tinggal berseorangan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini beliau tinggal di rumah pusaka yang diwarisinya, namun rumah yang dibina sejak tahun 60-an di tanah yang kini menjadi miliknya itu telah usang dan struktur telah bocor serta berlubang.

"Alhamdulillah... syukur kerana dapat miliki rumah sendiri yang lebih selesa. Terima kasih kepada LPM dan kerajaan negeri Melaka serta pihak yang membantu merealisasikan impian saya ini," katanya. - Bernama