Tiga beradik kembar seiras teruja kembali ke sekolah

Nor Ziana Farahziah Muhamad Fauzi, 37, (kiri) mencuba saiz kasut sekolah kepada Nur Qaisara Aisya Mansor, Nur Qisya Izara dan Nur Qisya Izara di sebuah kedai menjual uniform sekolah di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Nor Ziana Farahziah Muhamad Fauzi, 37, (kiri) mencuba saiz kasut sekolah kepada Nur Qaisara Aisya Mansor, Nur Qisya Izara dan Nur Qisya Izara di sebuah kedai menjual uniform sekolah di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kembar tiga seiras dari Pasir Tumbuh di sini teruja membeli-belah kelengkapan sekolah pada saat akhir sebelum menyertai sesi persekolahan yang akan kembali bermula pada Ahad di negeri ini.

Kesemua kanak-kanak perempuan itu ialah Nur Qaleesya Kaira Mansur, Nur Qaisara Aisya dan Nur Qisya Izara yang masing-masing berusia lapan tahun.

Ibu mereka, Nor Ziana Farahziah Muhamad Fauzi, 37, berkata, anak ketiga, keempat dan bongsu daripada lima beradik tersebut bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keling di sini sejak tahun lalu.

“Tahun ini akan kembali ke sekolah tetapi masih kekal dalam darjah satu, sehinggalah pada Mac nanti baru akan beralih ke darjah dua.

“Mereka memang sangat bersemangat untuk kembali ke sekolah kerana merindui pelajaran dan kawan-kawan selain gementar kerana sudah terlalu lama tidak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai borong pakaian dan kasut sekolah di Bandar Baru Kubang Kerian di sini pada Sabtu.

Nor Ziana, seorang penjual pisang goreng di gerai di hadapan rumahnya di Pasir Tumboh bercuti daripada berniaga bagi menguruskan kelengkapan lima anak yang akan kembali bersekolah esok.

“Selain tiga beradik itu, dua lagi kakak mereka iaitu1 Nur Amina Iris, 13, darjah enam di sekolah sama dan Nur Intan Farhana, 14, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 juga bersiap untuk kembali bersekolah pada Ahad.

“Lima orang bersekolah memang perlu wang banyak kira-kira RM1,000 untuk belikan uniform dan kasut baharu kerana pakaian dan kasut sedia ada sudah tidak muat kerana masing-masing semakin membesar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rutin harian sebagai ibu kepada lima anak itu akan bertambah sibuk sebaik sesi persekolahan bermula kerana perlu menguruskan pengangkutan bagi memastikan anak-anak ke sekolah.

“Sudah agak lama ketinggalan pembelajaran walaupun ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetapi tidak sama dengan sesi persekolahan bersemuka.

“Saya berharap anak-anak akan kembali belajar dengan baik apabila sekolah dibuka semula.

''Saya juga bekalkan anak-anak dengan pelitup muka dan pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 di negeri Kelantan dan Sarawak ditetapkan pada 9 dan 10 Januari ini.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, walaupun kedua-dua negeri itu beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini, pengoperasian sekolah adalah serentak di seluruh negara.