'Hanya pentingkan diri sendiri'

Semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri dengan memalsukan sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah. Gambar kecil: Ma'amor
Semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri dengan memalsukan sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah. Gambar kecil: Ma'amor
A
A
A

SHAH ALAM - Isu membabitkan 14 peratus jemaah umrah yang dilaporkan dijangkiti varian Omicron kerana tidak mempunyai rekod vaksinasi dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri dengan memalsukan sijil vaksinasi untuk menunaikan umrah.

“Perkara sebegini amat membimbangkan kerana memalsukan sijil vaksin dan pergi menunaikan umrah adalah sesuatu yang serius, akhirnya pulang dengan pelbagai simptom Covid-19.

“Walaupun seseorang itu telah lengkap divaksin namun peratusan untuk dijangkiti tetap ada, oleh itu perlu berhati-hati dan menjaga diri,” katanya.

Sementara itu, orang ramai juga kesal dengan tindakan jemaah umrah yang tetap pergi ke Tanah Suci walaupun tidak divaksinasi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini berkata, masalah tersebut datang daripada diri sendiri yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab dan menyusahkan orang lain pada kemudian hari.

“Mereka yang enggan divaksin ini sanggup membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan sama seperti individu yang menerima vaksin untuk menunaikan umrah.

“Isu ini perlu ditangani dari akar umbi dan setiap individu perlu bertanggungjawab serta ada kesedaran yang tinggi kerana penularan wabak Covid-19 bukanlah sesuatu yang boleh diambil enteng,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Gambar dari kiri: Abdul Aziz Mohd Alias, Amiera Zainuar, Nurezzati
Gambar dari kiri: Abdul Aziz Mohd Alias, Amiera Zainuar, Nurezzati

Penasihat Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Pasar Borong Harian Kuala Lumpur, Abdul Aziz Mohd Alias berkata, kerajaan perlu memperkukuhkan dan memperketatkan pengawalan pintu keluar masuk sempadan negara supaya individu tidak menerima vaksin tidak dapat keluar negara.

“Jemaah umrah juga dinasihatkan untuk berlaku jujur dan mendapatkan vaksin sebelum menunaikan umrah, supaya perkara-perkara sebegini dapat dielakkan pada masa akan datang,” tuturnya.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM), Amiera Zainuar memberitahu jemaah yang tidak menerima vaksin dan memalsukan sijil demi untuk mengerjakan umrah tidak seharusnya berlaku.

“Mereka ini mungkin terdiri daripada golongan anti vaksin yang tidak mahu mengambil vaksin, namun mahu menunaikan umrah dan sanggup memalsukan sijil serta akhirnya pulang dengan membawa varian-varian Covid-19.

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku lagi dan saya mengharapkan orang ramai yang masih belum mendapat vaksin segera mendapatkan vaksin dengan cara yang betul,” katanya.