KDN akui ada kekhilafan pemeriksaan 17 jemaah umrah tidak divaksin

Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Datuk Seri Hamzah Zainuddin
A
A
A

HULU LANGAT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat kekhilafan dalam proses pemeriksaan sehingga 17 individu tanpa vaksin terlepas menunaikan umrah dan kemudian kembali ke Malaysia baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kesalahan tidak harus diletakkan kepada Jabatan Imigresen kerana setiap yang hadir ke sempadan negara sudah membawa ‘boarding pass’ (pas pelepasan).

Menurutnya, sekiranya individu sudah memiliki pas tersebut, ia bermakna mereka boleh melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

Begitupun, katanya, KDN akan berbincang dengan syarikat penerbangan supaya selepas ini proses pemberian pas pelepasan dapat dibaiki bahkan pekerja di kaunter boleh memeriksa sama ada individu yang hadir sudah divaksin atau tidak.

“Jadi kita jangan menuduh begitu sahaja, ada kekhilafan di situ dan insyaAllah kita akan perbaiki sebab perkara-perkara ini yang tak pernah berlaku ini.

“Ya lah, kita manusia biasa dan kita belajar daripada apa yang berlaku dan insyaAllah kita akan perbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Sri Nanding, di sini pada Jumaat.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah setakat Selasa tidak menerima suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Menterinya, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya sedang meneliti alasan 17 jemaah terbabit mengenai perkara itu.

Tegasnya, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden itu kerana hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan.

Tambah beliau, KKM juga sedang menyiasat sama ada mereka yang tidak menerima vaksinasi itu disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi. - Awani