X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Jalin kerjasama pastikan populasi Harimau Malaya tidak pupus

Abdul Kadir
A
A

MELAKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan Zoo Melaka menjalinkan kerjasama bagi memastikan populasi Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dianggarkan kurang daripada 200 ekor haiwan berkenaan yang masih mendiami hutan di negara ini setakat ini.

Beliau berkata, menerusi hubungan dua hala dengan Zoo Melaka di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) diyakini dapat menjayakan konservasi hidupan liar selain usaha membantu pembiakan baka, membanteras pemburu haram serta bidang penyelidikan.

"Menerusi program 'ex-situ' populasi Harimau Malaya dijangka dapat ditingkatkan dan mengelak ia pupus.

"Kalau kita tidak buat sesuatu yang drastik atau 'extra ordinary' kemungkinan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, kita tidak ada lagi Harimau Malaya yang tinggalnya di hutan tapi hanya di zoo," katanya.

Shadan (dua dari kanan) dan Abdul Kadir (dua dari kiri) bertukar dokumen ketika Majlis Menandatangani MoU antara MPHTJ dan Perhilitan Semenanjung Malaysia di Ayer Keroh pada Jumaat.
Shadan (dua dari kanan) dan Abdul Kadir (dua dari kiri) bertukar dokumen ketika Majlis Menandatangani MoU antara MPHTJ dan Perhilitan Semenanjung Malaysia di Ayer Keroh pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MPHTJ dan Perhilitan Semenanjung Malaysia di Ayer Keroh di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Yang Dipertua MPHT, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor yang dikesan punca populasi haiwan itu terancam disebabkan pemasangan jerat oleh pemburu serta habitat Harimau Malaya mula mengecil.

"Dengan adanya program ini, pembiakan dapat dilakukan. Apabila usia anak Harimau Malaya ini telah sesuai, dalam tempoh dua atau tiga tahun kemudian kita akan melepaskannya ke dalam hutan," jelas beliau.

Sementara itu, Shadan berkata, kerjasama itu termasuk bagi stok hidupan liar yang tiada pasangan di Zoo Melaka dalam usaha merancakkan lagi program pembiakan sedia ada dalam zoo berkenaan.

"Zoo Melaka bukan untuk kita mengaut keuntungan semata-mata. Sebaliknya ia tempat untuk konservasi dan pendidikan yang mana haiwan boleh dijaga dengan sempurna dan dijadikan rujukan kepada anak-anak serta generasi akan datang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!