X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Kerajaan perlu tangguh pengambilan pekerja asing

Hariss (kiri) menerima memorandum yang diserahkan Hishamuddin dan Mohd Yusuf di pintu masuk Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada Jumaat.
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia digesa untuk menangguhkan proses pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Setiausaha Agung Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim sebaliknya berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini untuk mengisi kekosongan di dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

Beliau berkata, pihak berkenaan juga seharusnya membuat kajian lebih menyeluruh dan terperinci sebelum pengambilan pekerja asing dilaksanakan.

Menurutnya, penangguhan itu wajar mengambil kira kadar pengangguran yang masih tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini, ditambah sektor ekonomi masih belum pulih sepenuhnya kesan daripada pandemik Covid-19.

“Justeru, kami menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk memberikan peluang dan keutamaan kepada rakyat Malaysia yang masih menganggur atau kehilangan pekerjaan akibat kegawatan ekonomi disebabkan pandemik ini.

“Keutamaan juga perlu diberikan kepada siswazah yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas MHO dan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan) menyerahkan memorandum untuk menangguhkan proses pengambilan pekerja asing ke Malaysia di pintu masuk Kementerian Sumber Manusia di sini pada Jumaat.

Memorandum itu diserahkan secara bersama oleh Hishammuddin dan Pengerusi Semboyan, Mohd Yusuf Azmi kepada Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia, Dr Harris Gani.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, kerajaan juga disaran untuk menaikkan gaji minimum sebanyak RM2,000 kepada RM2,500 mengikut kepada status ekonomi sektor dan negeri terlibat.

Hishamuddin
Hishamuddin

Beliau berkata, ia sebagai langkah untuk memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia mengisi jawatan dalam sektor berkenaan.

Menurutnya, dengan kenaikan had gaji itu, secara tidak langsung mampu menarik minat rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor 3D, lebih-lebih lagi rakyat tempatan yang masih lagi terkesan dengan Covid-19 serta bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.

“Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keprihatinan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan keutamaan kepada rakyat negara ini yang masih menganggur untuk mengisi kekosongan di dalam sektor pekerjaan masih kosong sebelum mengambil pekerja asing adalah amat wajar,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Hishamuddin turut memaklumkan satu pertemuan antara Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bersama MHO dan Semboyan akan diadakan di kementerian berkenaan pada minggu depan.

Pada Disember lalu, Saravanan melalui satu kenyataan berkata, kabinet pada awal Disember lalu bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Bangladesh untuk pengambilan pekerja asing bekerja di Malaysia berkuatkuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

Keputusan itu dibuat kerana negara berdepan dengan masalah kekurangan pekerja yang kritikal membabitkan lima sektor 3D iaitu perladangan, pembuatan, pembangunan, pertanian dan perkhidmatan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!