X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Isu pemilikan saham Azam perlu siasatan lebih mendalam

Wan Saiful (kiri) bertanya khabar penduduk Kampung Changkat Setul, Changlun selepas majlis penyerahan bakul makanan PTPTN pada Jumaat.
A
A

CHANGLUN - Isu pemilikan saham membabitkan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memerlukan siasatan yang menyakinkan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kontroversi tersebut perlu dilihat secara serius kerana mampu menjejaskan kredibiliti suruhanjaya itu sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Menurutnya, bagi memastikan kritikan dan tuduhan tidak berlarutan dalam kalangan rakyat dan menjejaskan SPRM maka perlu diadakan satu siasatan lebih mendalam terhadap isu tersebut.

"Saya baca tuduhan-tuduhan yang dikeluarkan terutamanya sekali apabila tuduhan itu datang dari dalam lingkungan SPRM sendiri iaitu Profesor Edmund Terence Gomez.

"Apabila ada tuduhan begitu, saya rasa perlu dipandang dengan serius dan perlu disiasat dengan cara siasatan itu dipercayai oleh rakyat secara keseluruhan," katanya pada sidang akhbar di Kampung Changkat Setul, dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Masjid Kampung Changkat Setul.

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata, beliau berharap semua pihak dapat mengetepikan terlebih dahulu pandangan bersifat politik sebaliknya membantu menyelesaikan isu itu.

Menurutnya, SPRM adalah entiti yang terlalu penting dan tidak boleh dibiarkan ditohmah ataupun difitnah dan kontroversi ini perlu dihentikan dengan segera.

Dalam waktu yang sama, beliau berkata, prosedur dalaman SPRM perlu dirujuk sama ada wajar untuk Azam bercuti sementara waktu semasa siasatan dijalankan.

"Tuduhan ini bersifat peribadi kepada Azam namun tetap akan memberi impak secara langsung kepada SPRM jika tidak ditangani dengan baik.

"Sama ada Azam perlu bercuti atau tak, itu perlu rujuk prosedur dalaman SPRM. Ramai tokoh berkaliber, dipercayai dan dihormati rakyat berada dalam beberapa struktur SPRM sekarang dan saya yakin mereka boleh buat keputusan terbaik," ujarnya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Azam menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!