Banjir: Veteran TUDM rugi RM50,000 ternakan mati

Ikmal Hisham (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Mat Sidek (dua dari kiri) sempena program Cakna Veteran ATM di Taman Seri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini. - Foto Bernama
Ikmal Hisham (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Mat Sidek (dua dari kiri) sempena program Cakna Veteran ATM di Taman Seri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

HULU LANGAT - Seorang veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM50,000 susulan banjir di kediamannya di Taman Sri Nanding di sini pada 18 Disember lepas yang merosakkan peralatan rumah dan mengorbankan 170 itik ternakan.

Ini secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan Mat Sidek Ibrahim, 63, yang merupakan penternak itik yang sebelum ini memiliki 200 itik.

“Saya menternak itik selepas berkhidmat dalam TUDM sejak tahun 2003 dan menjadikan penternakan itik sebagai pendapatan sampingan selepas bersara.

"Kini, itik saya hanya tinggal 30 ekor akibat bencana berkenaan. Kawasan saya terjejas teruk dalam bencana itu kerana terletak sangat berhampiran dengan Sungai Langat kira-kira 500 meter sahaja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mat Sidek berkata, bencana banjir itu di luar jangkaan dan semasa kejadian, beliau bersama isterinya berada di Melaka menziarahi sanak-saudara di sana.

Pada Isnin lepas, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memaklumkan seramai 800 veteran dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terjejas dalam bencana banjir telah dikenal pasti di seluruh negara setakat 4 Januari lepas di bawah program Cakna Veteran ATM. - Bernama

Artikel Berkaitan: