Tiga aksi pramusim mantapkan persediaan TFC hadapi Liga-M

Barisan pemain TFC sudah mula menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga-M musim ini. - Foto FB TFC
Barisan pemain TFC sudah mula menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga-M musim ini. - Foto FB TFC
A
A
A

PASUKAN Terengganu FC (TFC) sudah merangka tiga perlawanan bagi aksi 'pemanas badan' sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula musim ini.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, aksi persahabatan pramusim yang dijadual bermula 5 Februari itu melibatkan pasukan ‘adik’, Terengganu FC ll (TFC ll), Sri Pahang FC dan Penang FC.

Beliau berkata, tiada perancangan untuk aksi persahabatan dengan pasukan luar negara pada tahun ini memandangkan dunia berhadapan dengan ancaman Omicron, iaitu varian baharu Covid-19.

"Pada awalnya memang kita bercadang untuk adakan aksi pramusim bersama pasukan luar negara untuk mendapatkan rentak dan pengalaman baharu.

"Tetapi selepas memikirkan risiko dan menjaga keselamatan pemain, kita putuskan untuk berkampung di Terengganu sahaja sehingga keadaan betul-betul reda," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Sabri berkata, aksi persahabatan yang akan berlangsung dalam tempoh seminggu itu diharap dapat memastikan pemain bersedia sepenuhnya daripada aspek mental dan fizikal seterusnya membentuk keserasian sesama mereka.

"Kita perlukan aksi pemanas badan untuk jurulatih mengenal pasti kelemahan pemain dan membentuk keserasian antara mereka.

"Ia penting untuk kita memastikan prestasi kedua-dua pasukan, TFC dan TFC ll musim ini lebih baik daipada tahun lepas," katanya.

Artikel Berkaitan:

TFC menamatkan saingan Liga Super musim lepas di tangga keempat dan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia manakala TFC ll pula menduduki tangga ketiga carta Liga Premier. - Bernama