Dua maut dalam nahas babitkan dua kenderaan

Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, tengah malam tadi.
A
A

TEMERLOH - Seorang jurujual alat ganti kenderaan dan penganggur maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur - Kuantan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, pemandu Nissan Almera, Liew Kwong Fai, 42, dari Bahau, Negeri Sembilan dan pemandu Proton Iswara, Hairol Asyraf Mohammad, 23, dari Lanchang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kemalangan dikatakan berpunca apabila kereta yang dipandu jurujual terbabit, Kwong Fai dari arah Kuala Lumpur gagal dikawal sebelum terbabas.

"Kenderaan itu kemudiannya bertembung sebuah Proton Saga Iswara yang dinaiki tiga lelaki dari Lanchang yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, Kwong Fai dan Hairol Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala dan dada," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, seorang penumpang di dalam kereta Proton Saga Iswara, Sufi Salihin Mohd Puad, 17, mengalami cedera parah dan kini berada di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

"Kedua-dua mayat dibawa ke Hoshas untuk dibedah siasat pagi ini, manakala seorang lagi penumpang, N Kesavan berusia 18 tahun luka di bahagian muka dan kaki sebelah kanan dirawat di zon kuning hospital sama.

"Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia