Selangor belanja RM15 juta bantu usahawan Hijrah

Kenyataan Amirudin menerusi Twitter pada Khamis.
Kenyataan Amirudin menerusi Twitter pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menanggung perbelanjaan sebanyak RM15 juta bagi membantu usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang terkesan akibat banjir di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbelanjaan itu membabitkan kelulusan moratorium selama dua bulan yang diberikan kepada seramai 921 usahawan Hijrah.

"Susulan pengumuman Selangor Bangkit pada 21 Disember lepas, sebanyak 921 permohonan moratorium selama dua bulan bagi pembayaran pinjaman Hijrah telah diluluskan bagi membantu mangsa.

"Implikasi kewangan daripada inisiatif ini dianggarkan berjumlah RM15 juta," ciapnya di laman Twitter beliau pada Khamis.

Amirudin turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor akan terus membantu usahawan terbabit agar dapat bangkit kembali daripada episod duka akibat bencana banjir besar.

Disember lalu, Pengarah Eksekutif Hijrah, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor dilaporkan berkata, penangguhan bayaran bermula 22 Disember itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.

Permohonan moratorium itu ditutup pada 29 Disember lalu, manakala usahawan yang menikmati manfaat tersebut terdiri sektor pembekal, pemakanan, perkhidmatan, pertanian, penternakan dan pemprosesan.

Artikel Berkaitan: