Enam cerun kritikal di Gombak

Keadaan cerun runtuh di Apartmen Teratai Selayang pada 18 Disember lalu.
Keadaan cerun runtuh di Apartmen Teratai Selayang pada 18 Disember lalu.
A
A
A

GOMBAK - Enam cerun kritikal dilaporkan di Gombak dengan tiga arahan pengosongan dikeluarkan sebagai langkah keselamatan sejak 18 Disember lalu.

Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz berkata, pengosongan melibatkan 38 keluarga di Apartmen Teratai, Selayang, dua keluarga di Jalan Sepakat Kampung Melayu Batu 16 Rawang serta dua keluarga di Jalan Indah 12 Kampung Selayang Indah.

Menurut beliau, sebanyak RM14 juta diperuntukkan di bawah baik pulih enam cerun tersebut yang kini dalam fasa tindakan.

"Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan proses lantikan kontraktor dan telah dibentang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi peruntukan baik pulih.

"Mangsa yang diarahkan mengosongkan unit disediakan pusat pemindahan sementara (PPS) selama dua bulan atau sehingga kerja baik pulih selesai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Keadaan cerun runtuh di Apartmen Teratai Selayang pada 18 Disember lalu.
Keadaan cerun runtuh di Apartmen Teratai Selayang pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata, antara lokasi cerun kritikal di bawah MPS adalah Apartmen Teratai, Persiaran 3 Puncak Templer dan Jalan Melati 20 di Taman Melati, Selayang.

Tambahnya, lima cerun kritikal turut dikenal pasti di bawah Ampang Jaya melibatkan peruntukan baik pulih sebanyak RM2 juta.

Artikel Berkaitan:

Nor Azlina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gombak menasihatkan penduduk untuk melaporkan cerun berisiko kepada agensi keselamatan supaya tindakan awal dapat diambil.

"Setiap laporan akan dibawa ke Mesyuarat Bencana Daerah selain pemeriksaan dilakukan oleh agensi terlibat antaranya MPS, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain.

"Agensi teknikal ini akan menasihatkan JPBD berkenaan tahap cerun tersebut dan keperluan arahan pengosongan jika membahayakan penduduk berhampiran,” jelasnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 30 Disember lalu memaklumkan kerajaan negeri memerlukan RM46 juta bagi menampung kos baik pulih 67 cerun berisiko di Gombak yang terkesan dengan kejadian hujan berterusan selama dua hari pada 17 dan 18 Disember lalu.