Pengeluaran KWSP: Generasi muda berdepan kesan ekonomi jangka panjang

Hazwan
Hazwan
A
A
A

SHAH ALAM - Generasi muda bakal berdepan kesan jangka panjang dari segi ekonomi dan sosial sekiranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan keluar sekali lagi.

Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad berpandangan, KWSP tidak sepatutnya dijadikan seumpama bank oleh kerajaan.

Menurutnya, kerajaan perlu memiliki perancangan penjanaan persaraan yang baik untuk rakyat Malaysia sebagai salah satu persediaan menghadapi 'ageing population' kelak.

"Atas sebab itu, saya secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan dan desakan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan KWSP mereka.

"Sebaliknya, kerajaan sepatutnya tidak kedekut untuk membelanjakan wang tunai kepada rakyat dengan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat, salurkan kepada yang benar-benar memerlukan.

"Ini khususnya kepada golongan yang amat terkesan dampak pandemik Covid-19 dan bencana banjir baru-baru ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mempunyai rizab wang yang stabil mengikut laporan Bank Negara Malaysia dan boleh menggunakannya untuk pemberian tunai kepada rakyat.

Beliau berkata, lebihan wang tunai di tangan rakyat itu boleh menyuntik kembali putaran ekonomi lokal dan seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan supaya rakyat membuat hutang atau pinjaman bank juga adalah satu cadangan yang tidak realistik walaupun pihak institusi kewangan itu menawarkan moratorium tanpa mengenakan sebarang faedah, namun masa hadapan tidak boleh dibaca dengan mudah.

"Apakah nasib sekiranya peminjam gagal membayar balik hutang pinjaman itu? Sudah tentu menatijahkan satu lagi masalah sosial yang teruk," katanya.