MPSJ gempur lokasi warga asing berniaga tanpa permit

Kesemua warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.
A
A

SUBANG - [DIKEMASKINI] 'Tolong encik, esok saya nak pergi hospital, itu antara helah warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya di sekitar kawasan rumah kedai di Serdang Perdana.

Lelaki dipercayai warga Afrika itu pada mulanya dilihat keluar daripada sebuah kedai dalam keadaan sempurna, namun sebaik sahaja ditahan pihak berkuasa, suspek kemudiannya bertindak lemah.

Namun, helah suspek bagaimanapun tidak berjaya dan ternyata suspek mempunyai kesalahan Imigresen apabila gagal mengemukakan dokumen lengkap.

Kawasan sekitar rumah kedai di Serdang Perdana ini difahamkan menjadi tumpuan warga asing terdiri daripada warga Afrika, Timur Tengah dan beberapa negara lain.

Dalam operasi sama, seorang individu bertindak melarikan diri dengan melompat pagar apartment berhampiran setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Namun hasratnya gagal apabila dengan kecekapan pihak berkuasa berjaya menahan suspek yang dipercayai berniaga di kawasan tersebut.

Warga asing ini berdalih mengatakan mahu mendapatkan rawatan di hospital bagi mengelakkan dirinya ditahan.
Warga asing ini berdalih mengatakan mahu mendapatkan rawatan di hospital bagi mengelakkan dirinya ditahan.

Kebanyakan warga asing ini difahamkan bertindak sewenangnya membuka perniagaan disini dengan mengambil sub daripada masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, operasi yang dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya bersama Jabatan Imigresen Selangor ini diadakan di beberapa lokasi sekitar kawasan Serdang serta Subang.

Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) Muhammad Azli Miswan berkata fokus utama operasi dijalankan adalah mengesan dan mengambil tindakan tegas kepada perniagaan yang diuruskan warga asing.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di beberapa premis, terdapat tujuh premis diberikan tindakan notis penutupan diantaranya didapati tanpa permit, serta ada premis yang telah disubkan kepada warga asing.

"Bagi tindakan sebegini, pihak MPSJ akan membatalkan lesen perniagaan mereka yang sub kepada warga asing ini," katanya.

Katanya, MPSJ sememangnya mengambil tindakan tegas dan proaktif dalam mengatasi isu berkaitan premis yang diuruskan oleh warga asing.

"Untuk tahun ini bermula Januari sehingga Februari sebanyak 300 operasi dijalankan oleh MPSJ, ia termasuk tindakan kepada peniaga yang menggajikan warga asing tanpa permit yang sah, dan lain-lain kesalahan.

"Untuk operasi ini, ketujuh premis yang diambil tindakan adalah terdiri daripada premis makanan, dan premis gunting rambut," katanya.

Pihak berkuasa mengesan warga asing yang cuba melarikan diri di bawah bangunan lokasi operasi dijalankan.
Pihak berkuasa mengesan warga asing yang cuba melarikan diri di bawah bangunan lokasi operasi dijalankan.

Jelasnya, seramai 10 individu ditahan dalam operasi ini.

"Mereka ditahan didapati ada kesalahan Imigresen dan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran beberapa individu dipercayai tonto ketika operasi dijalankan, katanya, pihaknya tidak patah semangat dengan hal berkaitan tonto ini.

"Sepanjang kita laksanakan operasi, belum ada kes melibatkan kita diganggu tonto, tapi kita tahu hakikatnya memang ada dan kita sedar akan perkara tersebut.

"Namun, ini tidak akan mematahkan semangat malahan MPSJ akan lebih mempertingkatkan lagi operasi-operasi bukan setakat di premis malahan juga taska-taska," katanya.

Premis ini diambil tindakan dibawah undang-undang kecil establishment makanan Majlis Perbandaran Subang Jaya 2013 dan undang-undang kecil pusat kecantikan 2013.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia