Agihan BWI di Selangor berjalan lancar

Johari, Dr Aini
Johari, Dr Aini
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM1,712,000 wang Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah diagihkan kepada 1,712 mangsa banjir di daerah Hulu Langat sehingga Selasa.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad berkata, pengagihan berjalan lancar dan diselaraskan dengan bantuan kerajaan negeri, Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut beliau, Pejabat Daerah itu bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi memudahkan pengagihan BWI dan BSB.

"Penerima tidak perlu mengisi borang (BWI) kerana ia keperluan dari segi audit bukan tujuan menyusahkan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan terdapat pemohon menghadapi masalah untuk mendapatkan bantuan BWI yang diagihkan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johari Anuar turut memaklumkan tidak wujud masalah dalam pengagihan bantuan BWI termasuk permohonan bantuan berkenaan.

Menurutnya, setakat ini pengagihan BWI dan BSB kepada mangsa banjir berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan dan sehingga Selasa sudah melebihi 4,000 penerima.

"Data pemberian BSB bagi daerah Petaling dari 28 Disember sehingga Selasa ialah seramai 4,350 penerima melibatkan sejumlah RM4,350,000.

Artikel Berkaitan:

"Pemberian bantuan diadakan secara bersama dengan pihak ICU Selangor yang menyampaikan BWI bagi pihak Persekutuan," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan BWI kepada mangsa banjir seluruh negara disegerakan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi membolehkan mangsa banjir dapat menggunakan wang berkenaan bagi membeli keperluan mereka dengan segera.