Kaji semula penamatan kontrak atlet

Chua Wei Kiat
Chua Wei Kiat
A
A
A

[KEMAS KINI] ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan menamatkan perkhidmatan 144 atlet daripada Program Latihan Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua AMK Selangor, Chua Wei Kiat berkata, isu kekurangan dana menyebabkan terdapat atlet yang mencipta kejayaan pada pertandingan peringkat antarabangsa seperti juara dunia sukan terjun, Cheong Jun Hoong turut digugurkan.

Beliau berkata, hanya 288 daripada 432 atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat di Sukan SEA di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou dikekalkan.

"Menurut MSN, perkara ini diputuskan selepas program tersebut tidak diberi peruntukan dalam Bajet 2022 dan industri sukan hanya diperuntukkan RM 244 juta.

"Persoalannya, adakah kita hanya perlu fokus kepada atlet untuk memenangi pingat sahaja, sedangkan negara perlu bersedia melahirkan atlet pelapis yang berpotensi?" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wei Kiat berkata, pihaknya memahami peruntukan industri sukan dikurangkan bagi memberi fokus kepada Covid-19 serta pembangunan ekonomi, namun Kementerian Belia dan Sukan perlu bijak menguruskan kewangan.

"Lebih baik dengan dana yang terhad ini digunakan untuk pembangunan latihan atlet manakala sebarang pembangunan infrastruktur yang kurang penting ditangguhkan sementara.

"Tindakan memberhentikan atlet ini menjejaskan pembangunan sukan negara, apatah lagi dalam usaha negara mencari atlet pelapis selain prestasi sukan negara yang merudum," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa supaya kerajaan berhenti membazir dengan melantik Duta Khas bertaraf menteri melibatkan kos jutaan ringgit yang didakwa tidak berfungsi.

Jelas beliau, sebarang lantikan yang membawa kepada pembaziran perlu dibatalkan dan peruntukan tersebut dikembalikan kepada industri sukan ke arah melahirkan atlet bertaraf dunia.