Banjir: PKR gesa kerajaan tubuh Jawatankuasa Siasatan Bebas

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas bagi menyiasat kejadian banjir yang berlaku di seluruh negara ketika ini.

Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung berkata, hasil siasatan itu juga perlu dijelaskan kepada lebih 10,000 mangsa terlibat.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus di samping mengemukakan resolusi berdasarkan hasil siasatan, bukan sekadar menjaga kepentingan pihak tertentu sehingga mengabaikan nyawa serta kepentingan rakyat.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri Pahang mengeluarkan perintah larangan melalui Jabatan Perhutanan negeri seolah-olah mengaku bahawa pembalakan merupakan salah satu faktor menyebabkan berlakunya banjir di negeri berkenaan.

“Bagaimanapun, pembekuan sementara waktu tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah. Hakikatnya adalah pembalakan dan penggondolan hutan telah menyebabkan kerosakan sepanjang tempoh ini.

“Tindakan dalaman yang terselindung dan hubungan urus niaga termasuk informasi yang tersekat juga menyebabkan rakyat tidak sedar apa yang sebenarnya telah berlaku.

“Justeru, saya menggesa kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang menyeluruh dan telus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan di Pahang bukannya sesuatu isu baharu, tetapi kerajaan negeri Pahang sejak dahulu memilih untuk mendiamkan diri.

Artikel Berkaitan:

“Saya pernah mengutarakan isu ini dalam sesi pembahasan Belanjawan Negeri Pahang 2022 bahawa sebanyak 26 peratus pendapatan kerajaan negeri adalah daripada pembalakan dan perlombongan.

“Jika kerajaan negeri sendiri mempunyai beberapa anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pembalakan, bagaimanakah kerajaan negeri nak menyelesaikan masalah ini?

“Sejak dari dulu, isu seperti pencemaran Tasik Chini dan sisa radioaktif Lynas, kerajaan negeri Pahang tidak pernah memilih untuk bersama dengan rakyat,” jelas beliau.

Beliau berkata, Jawatankuasa Bebas yang dibentuk nanti perlu melangkaui parti politik dan turut dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

“Jangan tunggu sehingga rakyat menjadi mangsa banjir, baru nak beri perhatian. Ia sudah terlambat,” ujar beliau.