MUIP peruntuk RM9 juta bantu mangsa banjir

MUIP memperuntukkan RM9 juta di bawah program Agihan Prihatin Zakat (APZ) untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
MUIP memperuntukkan RM9 juta di bawah program Agihan Prihatin Zakat (APZ) untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM9 juta di bawah program Agihan Prihatin Zakat (APZ) untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, permohonan bantuan itu sudah dibuka secara dalam talian bagi meringankan beban mangsa banjir yang menjadi miskin rentan iaitu kemiskinan secara tiba-tiba.

Menurutnya, permohonan APZ mangsa banjir Pahang dibuat menggunakan borang yang disediakan MUIP dengan pengesahan daripada penghulu atau ketua kampung diperlukan.

“Antara syarat permohonan ialah beragama Islam, warganegara Malaysia, kejadian banjir di Pahang, berumur 21 tahun ke atas dan bermastautin di Pahang,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Asmadi berkata, sejak dua hari permohonan dibuka, pihaknya sudah menerima lebih 2,000 permohonan daripada mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini.

"Jumlah terbabit dijangka terus bertambah dan tarikh tutup permohonan pada 15 Februari depan.

"Permohonan yang berjaya akan menerima bayaran APZ mangsa banjir Pahang yang akan dimasukkan ke dalam akaun bank," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada mangsa banjir yang membuat permohonan APZ supaya jujur dengan memberi maklumat dan tidak berbohong.

Artikel Berkaitan:

“Berdosa bagi mereka yang memberi maklumat tidak benar hanya semata-mata inginkan bantuan," katanya.

Untuk permohonan dan maklumat lanjut boleh layari easnaf.muip.gov.my atau hubungi WhatsApp saja di talian 011-3016 3883.