Penjaja di lampu isyarat muncul kembali

Penjaja berjalan di pembahagi jalan sambil membawa makanan untuk dijual kepada pemandu sementara menunggu lampu isyarat berubah hijau.
Penjaja berjalan di pembahagi jalan sambil membawa makanan untuk dijual kepada pemandu sementara menunggu lampu isyarat berubah hijau.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjaja di persimpangan lampu isyarat dilihat muncul kembali walaupun kerajaan sudah melarang aktiviti tersebut dijalankan di lokasi berkenaan pada tahun lalu kerana ia bukan sahaja mengundang bahaya kepada mereka bahkan turut mengganggu lalu lintas.

Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 29 dan 30, di sini pada Selasa mendapati mereka mula kembali menjaja di persimpangan lampu isyarat bermula jam 9 pagi.

Hasil tinjauan mendapati penjaja terbabit bertindak berjalan di atas pembahagi jalan sambil membawa makanan yang telah dibungkus untuk dijual kepada pemandu yang sedang menunggu lampu isyarat berubah kepada warna hijau.

Salah seorang penjaja yang ingin dikenali sebagai Rizal, 27, berkata, dia mula menjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat itu setelah kehilangan pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Rizal yang pernah berniaga di Banting, Kuala Langat itu berkata, walaupun hasil jualan makanan terbabit boleh mencecah sehingga RM900 sehari, namun untung bersih daripada jualan itu hanya sekitar RM200 sahaja setelah membayar gaji pekerja dan pemotong buah, termasuk kos perjalanan dan bahan mentah.

"Kadang-kadang jual ini pun bukan laku sangat, ada masanya gaji pekerja saya hanyalah sekitar RM30 hingga RM70 sehari.

"Sepanjang tempoh saya berniaga, tidak ada kemalangan melibatkan pekerja kerana saya sudah latih mereka untuk lebih berhati-hati untuk mengelak daripada insiden tersebut, selain tidak memaksa memaksa pemandu membeli makanan yang dijual itu.

"Memang kerajaan dah larang sebelum ini tetapi saya terdesak, kalau saya tidak buat begini, siapa nak sara keluarga saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Sinar Harian turut mendapatkan pandangan orang ramai tentang penjaja yang berniaga di persimpangan lampu isyarat yang rata-rata risaukan keselamatan mereka.

Penjaja mula berniaga di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 30, di sini bermula pada jam 9 pagi.
Penjaja mula berniaga di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 30, di sini bermula pada jam 9 pagi.

Bagi Nurul Akqmie Badrul Hisham, 35, dia mengakui kurang selesa apabila melihat penjaja menjual di persimpangan lampu isyarat selain dihimpit rasa bersalah dan simpati terhadap golongan berkenaan jika dia tidak membelinya.

Menurutnya, pemandu juga mempunyai titik buta yang menyukarkan mereka untuk mengesan kehadiran penjaja, sekali gus membahayakan golongan tersebut yang terdedah kepada risiko kemalangan.

"Kita risau bila kita nak beli, lampu isyarat berubah hijau. Jadi ia mengganggu proses pembelian dan trafik serta membahayakan diri mereka.

"Kita sebagai pemandu juga mempunyai beberapa titik buta yang mana, kita pun tak nampak di mana mereka (penjaja) berada, jadi kita risau akan mencederakan mereka terutama ketika waktu hujan dan malam," katanya yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.

Turut senada dengannya, Nurul Hayati Mohamad Nor, 28, yang bersimpati dan risau terhadap keselamatan penjaja di persimpangan lampu isyarat.

Dia yang tinggal di Ampang berkata, ada masanya dia mudah bersimpati dengan golongan tersebut yang kelihatan terdesak sehingga sanggup berpanas dan berhujan demi mencari pendapatan, walaupun kerajaan telah melarang mereka berbuat demikian.

"Saya mudah simpati dengan orang, jadi saya rasa mereka mesti ada alasan yang kukuh untuk terus menjaja di persimpangan lampu isyarat sehingga sanggup mengabaikan larangan kerajaan untuk berbuat demikian.

"Mungkin mereka benar-benar perlukan wang ataupun menjaja di persimpangan lampu isyarat lebih menguntungkan berbanding di tempat lain, sebab itu saya masih membeli daripada mereka," ujarnya.

Bagaimanapun pendapat berbeza disuarakan, Nooramalina Roslan, 28, yang menegaskan bahawa dia tidak akan membeli makanan daripada penjaja di persimpangan lampu isyarat kerana bimbangkan keselamatan mereka yang rata-rata dilihat kurang memberi perhatian terhadap keadaan trafik di lokasi tersebut.

Dakwanya, mungkin penjaja tersebut memilih untuk berniaga di tempat demikian kerana lebih mudah untuk mencari pendapatan di lokasi berkenaan berbanding menjaja di gerai.

"Saya rasa ini merupakan jalan singkat untuk mereka mencari pendapatan, berbanding dengan membuka sebuah gerai tepi jalan.

"Sedangkan pada saya, mereka boleh membuka gerai ataupun letakkan makanan mereka di kedai atau stesen minyak," katanya yang tinggal di Kajang.