KASA diminta tambah baik sistem amaran banjir: Nadma

Setakat jam 5 petang pada Selasa, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan penurunan, manakala jumlah mangsa di Terengganu, Sabah dan Selangor tidak berubah. - Foto Bernama
Setakat jam 5 petang pada Selasa, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan penurunan, manakala jumlah mangsa di Terengganu, Sabah dan Selangor tidak berubah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta menambah baik sistem amaran banjir bagi memastikan bunyi amaran lebih kuat selain berbeza dengan siren lain.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan itu antara keputusan penting yang dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Menurut agensi itu, inisiatif pasca bencana turut meliputi tindakan KASA untuk memantau ban-ban yang tidak diselenggara dengan baik bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan.

“Bagi negeri-negeri yang telah memasuki fasa pascabencana, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah diminta untuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah untuk melakukan penilaian terhadap kawasan terlibat,” demikian menurut agensi itu.

Selain itu, Nadma memaklumkan Perdana Menteri turut mengarahkan supaya urusan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dipermudahkan dan semua Menteri Besar atau Ketua Menteri perlu memastikan setiap pejabat daerah mempermudah urusan pengagihan bantuan itu menerusi beberapa kaedah.

“Pertama, pendaftaran mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diurus Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh terus digunakan sebagai maklumat pengagihan tanpa borang dan pengesahan tambahan.

“Kedua, mangsa yang tidak berpindah ke PPS, pengesahan daripada ketua komuniti perlu digunakan bagi memastikan mangsa benar-benar terjejas dan ketiga, JKM diminta mendapatkan maklumat akaun bank mangsa ketika pendaftaran bagi memudahkan urusan agihan BWI selain perlu memberi penerangan kerahsiaan dan kegunaan maklumat tersebut,” menurut Nadma.

Setakat jam 5 petang pada Selasa, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan penurunan, manakala jumlah mangsa di Terengganu, Sabah dan Selangor tidak berubah.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nadma, operasi banjir seluruh negara kini melibatkan 17,223 anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,251 gabungan aset pelbagai agensi sedang beroperasi manakala JKM telah mengedarkan 544,064 pek makanan yang disediakan tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa terjejas.

“PKOB Negeri dan Daerah perlu memaklumkan kepada PKOB Pusat jika terdapat kejadian runtuhan yang memberi kesan kepada penempatan dan memerlukan pemindahan agar penyelarasan dan tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

“Hingga jam 10 pagi, 4 Januari 2022, Jabatan Mineral dan Geosains melaporkan 245 kejadian tanah runtuh di seluruh negara, pertambahan dua lokasi masing-masing satu kejadian di Negeri Sembilan dan Selangor manakala Jabatan Kerja Raya melaporkan 61 kejadian cerun dan jalan runtuh dikesan sepanjang MTL 2021/2022,” menurut kenyataan itu.

Agensi itu turut memaklumkan hingga jam 10 pagi Selasa, sebanyak 1,020 atau 97 peratus daripada 1,048 infrastruktur komunikasi yang terjejas telah dibaik pulih manakala baki 28 masih dalam proses baik pulih. - Bernama