58 kes lagi disahkan Omicron

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 58 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, 54 kes merupakan jangkitan import dan empat lagi adalah penularan tempatan.

"Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas mengenai penularan tempatan, beliau berkata, kesemua kes tersebut dilaporkan di Kedah pada 4 Januari.

"Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 varian Omicron yang pulang dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember dan disahkan positif pada 24 Disember 2021," katanya.

Menurutnya, pendedahan kepada kes itu berlaku pada 13 Disember dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember lalu.

"Ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan pada 19 Disember adalah positif dengan nilai ambang (CT Value) di antara 20.80 hingga 21.49.

"Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes import adalah melibatkan jangkitan dari Arab Saudi (39), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), United Kingdom (empat), Nigeria (dua) dan masing-masing satu dari Kazakhstan serta Perancis.

"Daripada jumlah keseluruhan 122 kes Omicron yang dilaporkan, 71 kes membabitkan jemaah umrah," katanya.

Khairy berkata, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 atau 68.8 peratus sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

"Daripada 1,220 presumptive varian Omicron ini, 928 atau 76.1 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

"Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum dan mengelakkan jangkitan teruk serta komplikasinya," katanya.