128 keluarga terjejas banjir di Perak terima bantuan RM1,300

Dr Wan Norashikin Wan Noordin (depan, tengah) bersama para peserta pada Program MARA Cakna Usahawan 2022 di Pusat Khidmat ADUN Kampung Gajah pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Wan Norashikin Wan Noordin (depan, tengah) bersama para peserta pada Program MARA Cakna Usahawan 2022 di Pusat Khidmat ADUN Kampung Gajah pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR SALAK - Sebanyak 128 keluarga yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda kediaman mereka melibatkan dua daerah di Perak pada bulan lepas menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,300.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, wang bantuan berjumlah keseluruhan RM166,400 itu diserahkan kepada 36 ketua isi rumah (KIR) di daerah Muallim manakala 92 lagi di daerah Hilir Perak.

“Sebanyak RM1,000 daripadanya merupakan Bantuan Wang Ihsan (BWI) menerusi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia manakala RM300 lagi adalah bantuan daripada Kerajaan Negeri Perak untuk membantu mereka yang kehilangan harta benda mendapatkan keperluan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Program Mara Cakna Usahawan 2022 di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah di sini pada Selasa.

Menurutnya, pembayaran wang bantuan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah itu telah diserahkan kepada mangsa di Hilir Perak pada minggu lepas manakala penerima di daerah Muallim akan diberikan dalam masa terdekat.

Wan Norashikin berkata, selain bantuan kerajaan, mangsa-mangsa banjir turut menerima pelbagai sumbangan badan korporat dan badan bukan kerajaan dari dalam negeri dan luar Perak termasuk bantuan pascabanjir membersihkan rumah masing-masing.

Pada Disember lepas, penduduk di sekitar kawasan Changkat Jong, Teluk Intan di daerah Hilir Perak dan Kampung Kuala Slim serta Behrang di daerah Muallim dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara selama beberapa hari susulan kediaman mereka dinaiki air banjir akibat hujan lebat berterusan.

Sebelum itu, beliau berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menyalurkan kemudahan sebanyak RM1.67 juta melalui suntikan modal pinjaman perniagaan termasuk diskaun sewaan premis perniagaan Mara kepada para usahawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah.

Artikel Berkaitan:

Wan Norashikin yang juga ADUN Kampung Gajah berkata, seramai 44 usahawan kawasan itu telah mendapat manfaat daripada suntikan modal serta diskaun kemudahan premis perniagaan Mara sepanjang tahun lepas.

“Antara industri terlibat menerima manfaat ini ialah perniagaan makanan dan minuman, gaya hidup, perkhidmatan, binaan serta automotif.

“Kemudahan-kemudahan ini dilihat mampu membantu para usahawan untuk mengukuhkan serta memastikan perniagaan mereka lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata program yang julung kali diadakan itu turut dijalankan di kawasan luar bandar lain iaitu DUN Bota dan Belanja melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.89 juta dengan kebanyakan penerima manfaat merupakan usahawan daripada golongan belia dan warga emas yang terjejas akibat Covid-19.- Bernama