Saya hormati keputusan Cheng Hoe: Ahmad Faizal

Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
Tan Cheng Hoe - Foto Bernama
A
A
A

"SAYA hormati keputusan Tan Cheng Hoe kerana saya pasti beliau telah bincangkan perkara ini bersama barisan kepimpinan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)”.

Itu pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung keputusan Cheng Hoe yang merupakan Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya melepaskan jawatan pada Isnin selepas empat tahun menggalas tanggungjawab itu sejak dilantik pada Disember 2017.

Tanpa mahu mengulas panjang, Ahmad Faizal bagaimanapun menyifatkan Cheng Hoe sebagai tokoh bola sepak tersohor serta berpengalaman luas susulan pelbagai kejayaan ditempa jurulatih kelahiran Kedah itu.

“Apa yang saya harapkan semoga beliau terus menyumbang dalam arena bola sepak negara,” katanya selepas majlis penerimaan sumbangan program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini pada Selasa.

Ketika mengulas mengenai peletakan jawatannya pada Isnin, Cheng Hoe berkata, keputusan itu terpaksa dibuat bagi memberi laluan kepada individu yang lebih arif untuk membawa skuad kebangsaan ke satu tahap lebih baik.

Ditanya mengenai calon pengganti jurulatih pasukan bola sepak negara, Ahmad Faizal berpandangan tahap disiplin dan kesihatan pemain skuad Harimau Malaya perlu dipertingkatkan terlebih dahulu bagi memastikan arena bola sepak dapat menjulang kembali nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kita boleh ambil jurulatih paling hebat dalam dunia tetapi kalau pemain tidak berlatih bersungguh-sungguh, tidak jaga kesihatan dan berdisiplin, ini tidak menjadi juga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, beliau akan membangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet esok, berhubung isu berkaitan penyertaan atlet Israel pada kejohanan yang bakal dianjurkan di Malaysia pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak dapat beri penjelasan lanjut selagi tidak dibincang di peringkat kabinet,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah portal berita asing melaporkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mengeluarkan satu lagi amaran kepada negara yang enggan membenarkan atlet dari negara tertentu menyertai kejohanan besar atas sebab politik.

IOC memetik pembatalan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia pada 7 hingga 11 Disember lepas, atas sebab keengganan Malaysia membenarkan atlet Israel memasuki negara serta Kejohanan Tinju Dunia AIBA yang menyaksikan pasukan tinju Kosovo tidak dibenarkan bersaing di Serbia. - Bernama