Fenomena air pasang besar di Selangor terkawal

Dua anggota bomba memantau fenomena air pasang besar di pantai daerah ini pada Selasa.
Dua anggota bomba memantau fenomena air pasang besar di pantai daerah ini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Fenomena air pasang besar memasuki hari kedua di Selangor dilaporkan berada dalam keadaan terkawal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pemantauan dilakukan di sekitar Klang dan Kuala Selangor mendapati tiada limpahan teruk.

Menurutnya, pemantauan air pasang besar dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar pada jam 8 pagi di Jeti Nelayan Kampung Tok Muda dan Jeti Melayan Jalan Kunci Air Kapar mendapati paras air di bawah lima meter dan surut pada jam 6.55 pagi.

"Keadaan di dua jeti terbabit terkawal dan rumah penduduk berdekatan tidak dinaiki air," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Norazam berkata, pemantauan BBP Sungai Pinang pada jam 6.30 pagi di beberapa kunci air di Klang mendapati keadaan terkawal.

"Pemantauan dilakukan di Kunci air 10/77, Jalan Kunci Air, Kunci Air 11, Sayang D'sayang, Kunci Air 11A dan Kunci Air Sungai Keramat," katanya.

Jelas beliau, air pasang besar juga dilaporkan berlaku di tiga lokasi di Kuala Selangor iaitu Pantai Remis, Pantai Jeram dan Jeti Jambatan Kuala Selangor.

Katanya, air pasang besar dilaporkan mula berlaku pada jam 6.50 pagi, namun keadaan masih terkawal.

Artikel Berkaitan:

"Tinjauan dilakukan BBP Kuala Selangor mendapati terdapat peningkatan air pasang besar pada hari ini (Selasa) berbanding semalam (Isnin).

"Bagaimanapun, air pasang besar melanda di tiga kawasan terbabit masih terkawal dan tidak membahayakan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran," katanya.