DUN Belia Melaka akan diwujudkan seperti manifesto: Sulaiman

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Melaka seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu bagi menggalakkan penglibatan golongan berkenaan menyalurkan idea dan pandangan, dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan negeri.

“Ia akan berfungsi seperti Parlimen Belia untuk menggalakkan belia diberi tempat dalam kerajaan negeri, di samping menyediakan pemimpin pelapis yang berkaliber.

“Di Melaka terdapat 28 DUN dan setiap kawasan mestilah diwakili oleh seorang, yang juga ada portfolio seperti yang terdapat dalam kerajaan negeri, melantik Speaker dan Timbalan Speaker seperti terdapat dalam persidangan DUN Melaka,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sebelum itu, beliau hadir pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri Sidang 1 Penggal Ke-33 Sesi 2021-2022, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Belia, Sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka dan MGBM akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi mewujudkan lebih banyak kawasan yang melibatkan belia.

“Antaranya ialah memperbanyakkan lagi pusat rekreasi untuk beriadah dan bersukan, selain peluang berniaga di kawasan PBT, ‘busking’, melukis dan sebagainya.

“Ini merancakkan lagi aktiviti-aktiviti melibatkan belia di negeri ini dan memberi peluang kepada mereka menceburi bidang yang mereka minat, sekali gus mengukuhkan lagi program-program pembangunan belia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: