Penduduk Batu Kapor diuji banjir gelombang kedua

Antara rumah penduduk yang mula digenangi air.
Antara rumah penduduk yang mula digenangi air.
A
A
A

TEMERLOH - Belum sempat melepaskan lelah mengemas rumah akibat banjir pada 19 Disember lalu, penduduk di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab sekali lagi diuji dengan gelombang kedua banjir yang melanda kediaman mereka bermula Ahad.

Seorang penduduk yang ditemui, Zahari Mohd Ali, 38, memberitahu, dia mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bersama isterinya, Era Susilawati Elias, 34, dan dua anak lelaki berusia dua serta lima tahun kira-kira jam 10.30 malam pada Ahad.

Menurutnya, dia sekeluarga baharu sahaja selesai mengemas rumahnya yang dilanda banjir pada 19 Disember lalu selepas banjir surut 26 Disember lalu dan kepenatan masih dirasai.

"Disebabkan risau dengan keselamatan keluarga, jadi saya ambil keputusan untuk segera berpindah ke PPS malam tadi.

"Sehingga pagi tadi, air sudah naik sehingga ke paras lutut dan berharap banjir tidak naik seperti baru-baru ini sehingga bumbung pun turut ditenggelami air," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berkata, dalam kejadian banjir besar yang berlaku pada 19 Disember lalu turut menyebabkan dia mengalami kerugian besar.

Zahari bersama ahli keluarganya mula berpindah ke PPS SMK Seri Semantan pada Ahad malam.
Zahari bersama ahli keluarganya mula berpindah ke PPS SMK Seri Semantan pada Ahad malam.

"Ketika banjir gelombang pertama, saya dan isteri hanya sedar apabila terasa diri sudah basah, rupanya rumah kami sudah dinaiki air," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang peniaga di kampung itu, Fikriah Abd Muin, 60, mengakui dia trauma dan semakin resah selepas melihat gelombang kedua banjir sudah melanda kampungnya.

"Jiwa memang resah, takut tapi saya kena kuatkan diri hadapi ujian ini.

"Buat masa ini, kami sekeluarga sedang bersiap sedia, jika air sudah mula memasuki rumah kami akan segera berpindah ke PPS jika diminta berbuat demikian," ujarnya.

Sehingga jam 3 petang pada Isnin, 64 mangsa melibatkan 19 keluarga sudah ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan.