Video pembalakan di Merapoh isu lama

Tangkap layar video tentang isu pembalakan di Hutan Merapoh yang tular di sebuah akaun Facebook hingga meraih perhatian warganet.
Tangkap layar video tentang isu pembalakan di Hutan Merapoh yang tular di sebuah akaun Facebook hingga meraih perhatian warganet.
A
A
A

KUANTAN - Rakaman video berdurasi dua minit 51 saat berhubung isu pembalakan di kawasan hutan Merapoh, Lipis yang kembali tular di Facebook adalah video lama yang direkodkan pada tahun 2017.

Aktivis dan Pengasas Save Merapoh Caves, Mohd Laili Basir berkata, video itu sebenarnya dibuat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk kempen selamatkan hutan Merapoh yang ketika itu diancam kemusnahan akibat aktiviti pembalakan.

"Selepas isu tersebut timbul dan bantahan dibuat pelbagai pihak, kawasan berkenaan diselamatkan kerajaan negeri Pahang.

"Semua aktiviti pembalakan ketika itu dihentikan serta merta dan kawasan itu dipulihkan serta dikekalkan sebagai Hutan Simpan Kekal Tadahan Air serta dalam proses untuk diisytiharkan sebagai GeoPark pertama di Pahang," katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Mohd Laili yang juga berada dalam rakaman video itu berkata, isu lama berkenaan tidak sepatutnya ditularkan semula.

Katanya, dalam isu kemusnahan hutan di Merapoh itu, kerajaan Pahang telah mengambil langkah sewajarnya dengan menyelamatkan dan memulihkan hutan tersebut.

"Jangan jadikan video ini untuk mencari publisiti dan mengelirukan orang ramai. Semak dulu sebelum nak tular," katanya.

Artikel Berkaitan: