Negeri Sembilan catat 2,037 mangsa banjir di 21 PPS

Penduduk kampung mengambil insiatif mengawal lalu lintas di laluan Jalan Jelai-Gemas Tambahan yang turut tenggelam akibat dinaiki air pada Ahad. - Foto Bernama
Penduduk kampung mengambil insiatif mengawal lalu lintas di laluan Jalan Jelai-Gemas Tambahan yang turut tenggelam akibat dinaiki air pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 2,037 mangsa banjir daripada 552 keluarga berada di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Negeri Sembilan setakat ini membabitkan daerah Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman berkata, empat daerah berkenaan masing-masing merekodkan satu PPS di Jelebu, 11 di Tampin, tujuh di Jempol dan dua di Kuala Pilah.

"Tampin mempunyai PPS terbanyak apabila 11 PPS dibuka dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah, Gemas menempatkan bilangan mangsa teramai iaitu 838 orang daripada 226 keluarga.

"Ia diikuti oleh PPS Sekolah Agama Rakyat Jelai 4 yang menempatkan seramai 281 orang mangsa terjejas banjir daripada 54 keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, di Jempol, sebanyak empat PPS dibuka dengan SK Rompin menempatkan seramai 124 orang mangsa daripada 29 keluarga.

Di Kuala Pilah pula kata Shamil, dua buah PPS dibuka melibatkan 167 mangsa dengan 50 keluarga ditempatkan di Dewan Desa Dangi selain 50 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di SK Kuala Pilah.

"Sementara itu, di Jelebu hanya sebuah PPS masih aktif iaitu di Balai Raya Kampung Puom dengan 40 mangsa daripada 13 keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan: