Isu i-Citra dibimbangi menjadi ‘peluru’ sabotaj PM

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Isu pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibimbangi menjadi ‘peluru’ untuk mensabotaj kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tuntutan pengeluaran i-Citra telah lama disuarakan rakyat dan musibah banjir besar di beberapa negeri menjadikan isu tersebut lebih relevan.

Menurutnya, Ismail Sabri sepatutnya lebih mempercayai suara rakyat bagaimana mereka mahu membelanjakan simpanan KWSP dengan meluluskan tuntutan terbabit atau terus berdiam diri sehingga menimbulkan persepsi negatif.

“Saya percaya sekiranya tuntutan tersebut tidak diendahkan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus dilihat boleh melaksanakan dasar, manakala Perdana Menteri dari UMNO pula dianggap tidak berkebolehan untuk melaksanakannya, walaupun sebenarnya beliau boleh melakukannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, difahamkan cadangan berkenaan telah dibawa ke pengetahuan jemaah menteri oleh Ismail Sabri, namun ditolak oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bersama beberapa menteri dari Bersatu termasuk menteri UMNO yang ‘mesra Bersatu’.

“Secara tidak langsung, Bersatu dilihat berjaya mensabotaj kedudukan Ismail Sabri sebagai ketua kerajaan dan Naib Presiden UMNO. Ramai menyifatkan Perdana Menteri mengikut telunjuk parti Bersatu apabila beliau tidak meluluskan cadangan ini.

“Malah dalam diam, Bersatu seolah menggunakan peluang ini untuk menghentam Ismail Sabri dan UMNO. Pada masa sama, mereka cuba menaikkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berani arahkan KWSP membuat beberapa pengeluaran KWSP sebelum ini,” ulasnya.

Menurutnya lagi, gesaan Pemuda UMNO ini dibuat berteraskan denyut nadi rakyat selain komitmen parti itu terhadap rakyat yang masih terjejas kehidupan mereka, selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

“Desakan ini bukan bermotifkan politik populis, jauh sekali bersifat menghasut seperti didakwa pihak tertentu.

“Kami menyambut baik pengumuman Ismail Sabri yang menyalurkan pelbagai bantuan untuk mangsa banjir di seluruh negara. Namun, tidak dapat dinafikan cadangan pengeluaran i-Citra RM10,000 masih hangat diperkatakan rakyat sehingga hari ini,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, permintaan tersebut bukan hanya disuarakan oleh mangsa banjir, bahkan dituntut ramai pihak yang terkesan kehidupan mereka, iaitu sebelum kejadian banjir lagi.

“Desakan ini berkait rapat dengan kesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan, dibelenggu hutang dan komitmen tertunggak.

“Pada pandangan saya, menaikkan jumlah pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 memberikan kesan yang kecil jika dibandingkan dengan pengeluaran i-Sinar yang mencecah maksima RM60,000,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda UMNO terus menggesa Ismail Sabri mempertimbangkan semula kebenaran untuk mengeluarkan RM10,000 secara 'one-off' menerusi i-Citra KWSP dan mendengar rintihan rakyat yang terdesak mahu meneruskan kelangsungan hidup.

Namun pada Ahad lalu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Kerajaan telah memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara.