284 keluarga terlibat gelombang banjir kedua di Pahang

Che Adam
Che Adam
A
A
A

Keluarga - Sebanyak 284 keluarga melibatkan 995 mangsa telah dipindahkan ke 38 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 6 petang pada Ahad susulan enam daerah di Pahang dilanda banjir gelombang kedua sejak Jumaat lalu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, enam daerah berkenaan ialah Lipis, Maran, Bera, Rompin, Raub dan Jerantut.

Menurutnya, daerah Lipis mencatatkan seramai 501 mangsa daripada 144 keluarga ditempatkan di 13 PPS.

"Di Raub pula seramai 276 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di 12 PPS diikuti Maran seramai 92 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di lima PPS.

"Selain itu, Jerantut mencatatkan seramai 61 mangsa daripada 16 keluarga di tiga PPS, Rompin 51 mangsa daripada 13 keluarga di empat PPS dan Bera 14 mangsa daripada empat keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Che Adam memaklumkan, seramai 1,063 mangsa daripada 348 keluarga yang terlibat banjir gelombang pertama masih lagi ditempatkan di 10 PPS di Temerloh dan Pekan.

Katanya, di Temerloh ia melibatkan seramai 711 mangsa daripada 224 keluarga ditempatkan di tujuh PPS manakala Pekan seramai 352 mangsa daripada 124 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

Dalam perkembangan semasa, Che Adam berkata, sebanyak lapan laluan ditutup membabitkan lima daerah di Pahang iaitu Kuantan, Maran, Jerantut, Pekan dan Temerloh.

Artikel Berkaitan:

"Di Kuantan melibatkan dua jalan di Sungai Lembing dan Jalan Kuantan- Kuala Lumpur berhampiran Gambang Resort; Maran pula Jalan Kuala Lumpur- Kuantan serta Jerantut membabitkan Jalan Kuala Lipis- Jerantut.

"Temerloh sebanyak dua jalan ditutup iaitu jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Paya Luas - Perlok serta Pekan pula melibatkan Jalan Kuantan- Segamat," katanya.