Warisan tidak goyah: Mohd Shafie

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di KKIA, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di KKIA, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa Warisan tidak akan goyah dengan tindakan beberapa pemimpin tertinggi yang keluar dari parti.

Beliau berkata, ahli yang keluar dari parti merupakan lumrah dalam politik namun ia tidak memberi sebarang perubahan kepada rakyat dan negara.

"Tidak goyah, ia biasa dalam politik.

(Sebelum ini) Parti Bersatu Sabah (PBS) dulu, lahirkan banyak anak (parti) seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Tapi tiada sebarang perubahan berlaku.

"Itulah dikatakan 'ubah', kita kena ada perubahan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Ahad sebagai mengulas berhubung dakwaan bahawa Warisan goyah berikutan pemimpin tertinggi keluar parti baru-baru ini.

Diminta mengulas mengenai tindakan yang dikenakan terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony, Mohd Shafie menyatakan beliau memahami situasi yang dihadapi.

"Tiada tindakan yang diambil, dia sudah keluar parti apa tindakan kita harus ambil.

Artikel Berkaitan:

"Bukan hal saya untuk menjalankan (undang-undang).

Itu serahkan kepada pihak yang berwajib.

Saya simpati juga dengan beliau saya faham keadaan dia, tekanan yang dia hadapi, bukan saya tidak faham, bukan saya tidak tahu dalam dunia politik," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan, perlunya ada pendirian dan ketegasan dalam memperjuangkan parti.

Sementara itu, ditanya mengenai penerimaan parti itu di Semenanjung, beliau memaklumkan bahawa ramai yang ingin menyertai Warisan.

"Alhamdulillah, ramai.

Sepatutnya, saya berada di Johor minggu ini, (untuk) terima orang masuk. Bekas UMNO, bekas MIC, bekas MCA, bekas pejuang-pejuang Bersatu, ada.

"Tetapi kita tunggulah, kita tak mahu cakap banyak sangat, serahkan kepada mereka, rakyat menentukan kehidupan perjalanan negara ini.

"Banyak rakyat bersuara, kebencian mereka amat tebal tentang ahli-ahli politik tetapi perubahan tidak akan berlaku.

Kalau kita tunggu ahli politik berubah, tidak berubah. Kita kena pastikan rakyat mengubah keadaan negara ini," katanya.