Dakwaan Warisan tersasar perjuangan asal tidak benar: Shafie

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony bahawa parti Warisan tersasar dari perjuangan asal dengan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak benar.

Jelas presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, keputusan melebarkan sayap ke Semenanjung mendapat sokongan penuh seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti.

Dalam satu kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu juga, beliau menjelaskan, isu melebarkan sayap ke Semenanjung adalah bagi menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia.

Beliau melihat kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak dengan jumlah keluar mengundi yang rendah, ini katanya menunjukkan pengundi mahukan pilihan parti yang lebih baik yang mampu membawa perubahan untuk kebaikan negara dan rakyat.

Shafie turut membidas kenyataan Peter yang berkata negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing, namun ia jelas bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ini kerana GRS diketuai oleh seorang ahli parti nasional Bersatu, maka katanya keputusan Kerajaan GRS ditentukan oleh ketua partinya di peringkat nasional.

Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan GRS dakwa Shafie hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.

Katanya lagi, tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa. - Awani

Artikel Berkaitan: