Kimia: Niosh nasihat petugas di lokasi guna alat PPE sesuai

Lee Lam Thye -Foto Sinar Harian
Lee Lam Thye -Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petugas yang terbabit dalam usaha pembersihan dan menangani pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dinasihatkan agar memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian bagi mengelakkan terdedah kepada bahan beracun.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata petugas termasuk anggota keselamatan, pengamal media dan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapatkan nasihat pakar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, NIOSH serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenai PPE lain termasuk jenis pakaian yang perlu dipakai ketika berada di kawasan berisiko.

Penggunaan PPE secara tepat dan betul mampu mencegah kecederaan dan kematian, katanya.

"Amat membimbangkan apabila orang ramai, penjawat awam dan swasta, anggota NGO serta petugas media hanya memakai ‘mask’ atau penutup hidung jenis biasa yang tidak mampu menapis partikel dan gas beracun.

"Sesetengah mereka pula hanya memakai pakaian biasa apabila berada berhampiran tapak pelupusan bahan toksik di Sungai Kim Kim," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Kejadian pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lepas sehingga hari ini telah menyebabkan lebih 1,000 orang dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah dalam daerah Pasir Gudang ditutup serta-merta bagi mengelakkan lebih ramai pelajar terjejas.

Susulan kejadian itu, Lee berkata Niosh dengan kerjasama syarikat pembekal PPE, 3M Malaysia Sdn Bhd sedang mengumpulkan alat respirator (alat pelindung pernafasan) yang sesuai untuk dihantar ke kawasan terjejas.

Katanya Niosh akan menghantar 20 set pertama alatan itu untuk diagihkan menerusi sebuah NGO di Johor iaitu Pertubuhan Ihsan Johor.

"Niosh juga telah menghantar pasukan teknikal higen untuk membantu proses pemantauan gas beracun di kawasan penempatan mangsa di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih, Pasir Gudang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan majikan untuk menyediakan PPE manakala pekerja wajib memakainya. -Bernama