Raja Muda Perlis ketuai 60 program kayuhan bertemu asnaf

Tuanku Syed Faizuddin (depan, kiri) bergambar kenangan bersama peserta Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-60 serta penutup tahun 2021 di Masjid Alwi, Kangar pada Jumaat.
Tuanku Syed Faizuddin (depan, kiri) bergambar kenangan bersama peserta Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-60 serta penutup tahun 2021 di Masjid Alwi, Kangar pada Jumaat.
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menggandakan usaha bagi meneruskan budaya turun padang dalam menjayakan segala inisiatif yang dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pendekatan yang diambil dengan usaha mendekati masyarakat selama ini telah menjadi antara salah satu kekuatan MAIPs untuk membantu golongan sasar.

Menurutnya, selain itu ia turut bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan benar terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat.

"Walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun sepanjang tahun 2021, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan mengetuai sendiri 60 kali kayuhan untuk bertemu golongan sasar.

"Keseluruhan kayuhan ini melibatkan 1,530 asnaf dengan sumbangan berjumlah RM1.071 juta diagihkan sepanjang program berkenaan," katanya selepas mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dalam Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-60 serta penutup tahun 2021 di Masjid Alwi di sini pada Jumaat.

Dalam program terbabit, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak RM21,000 kepada amil kariah Masjid Alwi, Ismail Hashim untuk diagihkan kepada 30 asnaf terpilih.

Mohd Nazim berkata, semenjak pelaksanaan program Kayuhan MAIPs Peduli pada 2013, sebanyak 704 kali kayuhan telah dilaksanakan oleh Tuanku Syed Faizuddin yang turut diiringi ketua-ketua jabatan dan juga pihak swasta.

"Keseluruhan program itu memberikan manfaat kepada 36,310 penerima asnaf dan melibatkan jumlah sumbangan sekitar RM22,897,200," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Nazim, MAIPs turut menempatkan wakil-wakilnya dalam komuniti masyarakat seperti amil di 102 kariah selain Guru Muraqib Amil di semua sekolah dalam negeri ini termasuk wakil-wakil di institusi pengajian tinggi di seluruh Perlis.