Bumitra, Papuh, MATTA gesa kerajaan tarik semula penangguhan umrah

Ab Rahman (kanan) ketika sidang media di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Sabtu.
Ab Rahman (kanan) ketika sidang media di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Agensi-agensi pelancongan Malaysia menggesa kerajaan agar menarik semula perintah penangguhan perjalanan umrah yang diumumkan baru-baru ini.

Antara persatuan yang terlibat adalah Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Setiausaha Agung Bumitra, Ab Rahman Mohd Ali berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan tindakan kerajaan dilihat terlalu tergesa-gesa dan memberi kesan besar kepada jemaah umrah serta sektor-sektor pelancong yang terlibat.

Ujar beliau, penundaan tersebut menyebabkan kerugian wang yang besar dan melibatkan kos-kos pembatalan yang tinggi kepada jemaah rakyat negara ini.

"Kita juga memohon agar diberi tempoh satu bulan untuk meneliti balik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan memantau mereka yang mengerjakan umrah ini.

"Namun, pada masa sama, sekiranya kerajaan berkeras untuk menunda perkara ini, kita mohon bantuan dari segi kewangan untuk menanggung kos-kos yang terlibat termasuklah kos pengangkutan, pembatalan hotel dan syarikat penerbangan sebab mereka akan minta bayaran balik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Sabtu.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali; Presiden Papuh, Datuk Seri Razali Mohd Sham dan Naib Presiden MATTA, Mohd Azri Abd Razak.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan kerajaan mungkin menangguhkan ibadah umrah jika situasi penularan varian Omicron di Arab Saudi meningkat dan jangkitan dalam kalangan jemaah tempatan pada tahap membimbangkan.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berharap agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dapat berjumpa pihak persatuan agensi pelancongan bagi membincangkan perkara tersebut supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya jemaah umrah.

"Kita akan akur sekiranya ada tambahan pada SOP selain tidak melibatkan kewangan sebab duit dah sampai kat orang dan memang dalam (kontrak) itu kita sudah tulis 'non-redundable' (tidak boleh dipulangkan), jelas tulis, tidak boleh buat apa-apa dah.

"Hangus duit itu. Duit siapa, duit jemaah iaitu 80 peratus daripada harga pakej jemaah.

"Jadi, pakej jemaah kalau RM6,900 dia akan kerugian hampir RM5,000," ujarnya.