Kerajaan bincang perancangan jangka panjang atasi banjir

Ismail Sabri (tengah) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan MPT dekat Lanchang pada Sabtu.
Ismail Sabri (tengah) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan MPT dekat Lanchang pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMASKINI] Satu perbincangan akan diadakan oleh kerajaan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat untuk perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu akan segera bermesyuarat bagi melihat penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh berkaitan musibah tersebut di seluruh negara selepas pasca banjir.

Menurutnya, ia bagi memastikan kerajaan tidak terus berbelanja besar setiap kali banjir melanda negara.

"Untuk banjir kali ini, kerajaan telah berbelanja hingga RM1.4 bilion dan dijangka terus meningkat kerana ia belum meliputi peruntukan membaik pulih kerosakan infrastruktur seperti jalan raya.

"Selain itu, kita akan melihat segala aspek termasuk membabitkan kedalaman sungai, tebatan banjir, kawasan simpanan air, terowong pintar dan juga kawasan penempatan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Misi Bantuan Keluarga Malaysia Kepada Mangsa Banjir Parlimen Temerloh di Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Lanchang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu mengulas pembinaan tebatan banjir, Ismail Sabri berkata, projek itu melibatkan kos yang tinggi.

"Oleh sebab itu, kerajaan akan melihat kos sebenar bagi membolehkan ia dilaksanakan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tidak boleh dibuat serentak, kita fokus daerah-daerah atau kawasan yang berpotensi tinggi dilanda banjir. Kerajaan akan mengumpul maklumat terperinci supaya dapat menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Mengulas keperluan untuk mewujudkan kawasan simpanan air bagi kegunaan sewaktu musim kemarau, beliau berkata, pihaknya akan melihat perkara berkenaan.

"Perkara ini sebenarnya telah lama diputuskan malah sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah. Kita mengikut model di Belanda yang mana mereka ada tempat takungan air sewaktu banjir yang boleh diguna ketika kemarau.

"Begitu juga terowong pintas, di Kuala Lumpur ia cukup berkesan, mungkin kita melihat kawasan bandar dan pesat seperti di Shah Alam, Selangor kemungkinan diwujudkan benda sama," katanya.

Katanya, begitu juga dengan aspek penempatan banjir yang mana dahulu ketika tahun 1971, mangsa banjir dipindahkan di kawasan tinggi.

"Di Pahang sebagai contoh, kita panggil rumah banjir, kita buat satu perkampungan baharu untuk mangsa banjir.

"Perkara ini boleh dibincangkan dengan kerajaan negeri supaya mengenal pasti tanah atau kawasan baharu untuk kita membina rumah baharu," katanya.

Sementara itu mengulas desakan pengeluaran kemudahan i-Citra oleh beberapa pihak, Ismail Sabri berkata, beliau tidak terkesan dengan situasi tersebut.

"Yang tidak puas hati akan terus tidak berpuas hati, maki hamun dan mengecam, masing-masing ada kerja.

"Saya buat kerja demi kepentingan rakyat, menambahkan peruntukan untuk membantu rakyat. Jadi masing-masing jalankan tugas mereka, hendak hentam hari-hari terserah kepada mereka," katanya.