Agensi kerajaan dicadang sedia bot sebagai persediaan banjir

Mastura Muhammad. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Mastura Muhammad. - FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi kerajaan dicadang agar membeli dan menyediakan bot di pusat masing-masing sebagai persediaan menghadapi bencana seperti banjir.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhammad berkata, ia sebagai langkah keselamatan awal sekiranya terjadi bencana.

Menurutnya, ketika berlaku banjir, sekurangnya-kurangnya bot-bot itu dapat digunakan dengan segera dan mangsa tidak hanya bergantung kepada pihak penyelamat seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) semata-mata.

"Walaupun cadangan tersebut belum diutarakan, bagi saya ia adalah satu keperluan.

"Bukan hanya jabatan atau agensi kerajaan, bahkan individu juga boleh mengambil inisiatif membeli dan menyediakan bot di rumah masing-masing.

"Tidak semestinya guna bot kayu, boleh juga pakai bot pam udara dan simpan sekiranya berlaku banjir.

"Terutamanya setiap rumah yang selalu berlaku banjir, kena simpan duit sikit dan beli supaya setiap rumah ada bot. Begitu juga dengan pelampung, pun boleh simpan lagipun ia lebih murah," katanya dalam ucapan ketika Program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) bertajuk Sujud Seorang Hamba' di PPAS di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan derma kepada mangsa banjir, Mastura menyeru penderma untuk menanamkan sifat empati dengan meletakkan diri mereka di tempat mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, kalau orang bagi katil atau tilam mana yang kita nak? Semestinya katil, lebih selesa. Jadi sebagai penderma, letak diri kita dalam situasi mereka supaya kita lebih memahami.

"Begitu juga kepada pihak yang menguruskan penerimaan sumbangan, mereka perlu tahu dan diajar cara yang betul agar penderma dapat memberi sumbangan yang benar-benar diperlukan.

"Penderma ialah orang yang ada duit, jadi pihak pengurusan perlu bimbing mereka barangan apa yang perlu disumbangkan, supaya tidak membazir dan dalam masa sama memberi keselesaan kepada si penerima," ujar beliau.