Kerajaan tangguh sementara kebenaran perjalanan umrah: KJ

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. - Gambar hiasan
Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini susulan peningkatan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penilaian risiko situasi Covid-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Beliau menjelaskan, penangguhan sementara aktiviti umrah itu juga dijangka dapat mengurangkan riskiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes pandemik itu.

“Ini adalah langkah pencegahan untuk kita perlahankan apa yang kita tahu akan datang gelombang Omicron (yang mana) di Amerika Syarikat hampir setengah juta kes harian, di United Kingdom lebih 200,000 kes harian dan gelombang Omicron ini adalah satu perkara yang nyata, yang akan tiba di semua negara.

“Tetapi apa yang kita dapat buat adalah langkah-langkah pencegahan untuk kita memperlahankan gelombang ini daripada melanda negara dengan keadaan yang sangat mendadak.

“Selain itu, langkah ini juga diharap dapat memberi ruang dan peluang kepada kerajaan untuk membuat perancangan dengan persediaan rapi dalam urusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula nanti,” katanya ketika sidang akhbar khas di kementeriannya di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, jemaah yang yang telah membuat tempahan tiket untuk menunaikan umrah pada 1 Januari hingga 7 Januari masih dibenarkan untuk berlepas ke Tanah Suci.

“Tempahan tiket perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa 1 Januari iaitu hari ini. Maksudnya tidak ada tempahan baharu untuk umrah sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Khairy turut memaklumkan, selain penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah yang diputuskan dalam Mesyuarat Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Jumaat, mesyuarat itu turut memutuskan jemaah yang tiba di Malaysia mulai 3 Januari (Isnin) perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti.

“Maksudnya, jemaah umrah yang tiba pada hari Isnin (3 Januari) mesti dikuarantin di stesen kuarantin dan tidak lagi diberi kebenaran untuk kuarantin di rumah,” katanya.