Rezeki tahun baharu buat mangsa banjir

KIR yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini layak menerima pemberian tunai hingga mencecah RM10,000 menjadi rezeki tahun baharu buat kesemua rakyat yang terjejas.
KIR yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini layak menerima pemberian tunai hingga mencecah RM10,000 menjadi rezeki tahun baharu buat kesemua rakyat yang terjejas.
A
A
A

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini layak menerima pemberian tunai hingga mencecah RM10,000 menjadi rezeki tahun baharu buat kesemua rakyat yang terjejas.

Pemberian bantuan itu yang diumumkan Ismail Sabri menerusi perutusan khas bersempena sambutan tahun baharu 2022 beberapa jam sebelum 2021 melabuhkan tirai sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman lega mangsa banjir.

Ia sekali gus memberi sedikit cahaya buat mereka dalam mengharungi tahun baharu yang pastinya akan turut mencabar ekoran negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan jangkaan bahawa Malaysia akan terus berdepan situasi bencana alam luar biasa pada masa akan datang.

Ismail Sabri berkata, bantuan tunai tersebut merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

"Menerusi usaha ini (pemberian tunai), pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekali gus mampu merancang masa depan selepas bersara.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka tabah menghadapi ujian ini. Kerajaan sedar kehidupan mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan amat memerlukan sokongan penuh untuk bangkit semula,” katanya.

Antara bantuan tunai disediakan untuk rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir adalah Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR dan baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik bagi setiap keluarga mangsa banjir yang terkesan.

Kerajaan turut menyalurkan bantuan sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah yang mengalami kerosakan tidak serius dan akan membaik pulih rumah mangsa yang rosak serius dengan kos sehingga RM15,000.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kediaman yang musnah dan tidak boleh diduduki pula sebanyak RM56,000 akan dibantu oleh kerajaan bagi tujuan pembinaan unit rumah baru selain RM2,500 bagi pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian,” kata Ismail Sabri.

Sememangnya pendekatan yang diambil kerajaan itu dilihat sebagai satu pertolongan yang diluar jangkaan kerana sebelum ini ramai mangsa banjir hanya mengharapkan pengeluaran 'one-off' KWSP sebanyak RM10,000 untuk membina semula kehidupan

Bencana banjir besar yang berlaku pada 17 Disember yang meragut 48 nyawa sememangnya memberi keinsafan kepada semua.

Ekoran musibah itu, sambutan tahun baharu yang lazimnya disambut dengan meriah dengan persembahan hiburan digantikan dengan Program Solat Hajat dan Munajat Perdana.

Sinar Harian melaporkan Ismail Sabri bersama kira-kira 1,000 jemaah menghadiri program itu yang diadakan di Masjid Putra, di Putrajaya pada petang Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena Tahun 2022.

Ismail Sabri yang berbaju melayu putih hadir diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad dan beberapa menteri kabinet dan pegawai kerajaan tiba di pekarangan masjid itu kira-kira jam 7 malam.

Program dimulakan dengan splat maghrib diikuti solat hajat dan zikir munajat serta doa diketuai Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Salahuddin Ghozali.

Semoga program itu memberi keberkatan kepada negara dalam menempuh lembaran baharu 2022 yang diharapkan akan lebih baik berbanding 2021 dan 2020.